Edisi Terhad, Laku Keras Pada Harga RM108,999!

Nama Vespa sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai jenama skuter paling ikonik yang membawa reka bentuk tulen dari Itali. Terbaharu, peminat jentera premium tempatan dikejutkan dengan kehadiran model edisi terhad Vespa 946 Horse (2026) yang dilancarkan pada harga RM108,999. Bagaimanapun, buat pengumpul jentera hobi yang mengimpikan skuter bertemakan zodiak kuda ini, Didi Group selaku pengedar rasmi Vespa di Malaysia mengesahkan berita duka bahawa kesemua tiga unit yang dibawa masuk ke pasaran tempatan telah pun habis terjual.

Model eksklusif ini merupakan kesinambungan kepada siri skuter edisi terhad Vespa yang meraikan kalendar zodiak Cina, menyusuli edisi terdahulu iaitu Rabbit, Dragon, dan Snake. Di peringkat global, Vespa hanya mengeluarkan sebanyak 888 unit sahaja untuk model ini bagi memastikan nilai eksklusivitinya kekal tinggi. Sesi tontonan eksklusif yang diadakan di Bukit Bintang baru-baru ini turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar Itali ke Malaysia, TYT Raffaele Langella, bagi menyatakan tanda sokongan terhadap jenama warisan negara beliau.

Majlis pelancaran yang penuh gilang-gemilang itu turut menjadi tumpuan apabila dihadiri oleh barisan rakan media, tetamu VIP, pempengaruh serta beberapa selebriti terkenal tanah air. Antara selebriti tempatan yang kelihatan hadir memberikan sokongan termasuklah legenda rock negara, Amy Search, serta penyanyi dan penerbit terkenal, Cat Farish. Kehadiran barisan artis dan tetamu kehormat ini nyata berjaya menaikkan lagi prestij malam pelancaran jentera premium tersebut.

Dari segi spesifikasi, pasaran Malaysia menerima varian 150 cc bagi model 946 ini. Ia digerakkan oleh nadi enjin 155 cc silinder tunggal dengan konfigurasi tiga injap sejukan udara, yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 12.7 hp pada 7,750 rpm dan tork maksimum 12.8 Nm pada 6,500 rpm. Gabungan kuasa ini sudah lebih daripada cukup untuk memberikan kelancaran tunggangan urban yang santai dan penuh gaya.

Keunikan reka bentuk Vespa 946 Horse ini terletak pada kerangka badannya yang tersendiri, terutamanya rekaan pelana tunggal (single seater) jenis “terapung” (floating seat). Model ini dilayangkan dengan warna khusus yang dinamakan “Bay”, iaitu tona coklat gelap dengan kesan kilauan metalik yang sangat memikat. Logo abjad “V” berwarna emas turut menghiasi bahagian badan, manakala bahagian rak barangan (parcel grid) belakang yang diselaputi kemasan powder coat hitam matte diletakkan bagi menggantikan tempat duduk pembonceng.

Berbeza dengan edisi zodiak sebelum ini, rekaan edisi Horse kali ini tampil lebih matang dan tidak terlalu menonjol atas permintaan para pelanggan setia mereka. Sentuhan premium jentera ini diperkemaskan lagi dengan kemasan kulit berwarna coklat pada bahagian pelana yang dihiasi butang logam tembaga, selain pada bahagian pemegang (handgrip) serta pemegang cermin sisi yang membawakan gaya eksklusif peralatan ekuestrian (sukan berkuda). Setiap pembelian jentera ini turut didatangkan khas bersama aksesori unik termasuk topi keledar edisi khas dan beg bagasi belakang yang diperbuat daripada kulit asli Itali.