Mega Gathering Honda RS150R & RSX150 2025 mencipta satu lagi detik besar dalam sejarah himpunan peminat kapcai berprestasi di Malaysia. Acara yang berlangsung di perkarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sekali lagi membuktikan betapa kuatnya komuniti Honda, khususnya melibatkan tiga model ikonik: Honda RS150R, Honda RSX150, dan Honda RSX Winner. Edisi ke-7 ini menandakan tahun ke-7 penganjuran, satu pencapaian yang jarang dapat dikekalkan oleh mana-mana perhimpunan berskala besar tanpa putus.
Kejayaan acara ini turut disokong oleh penggerak utamanya, saudara En Alfishahrin, Cik Diana Latief, dan barisan crew penganjur, yang terus konsisten mengekalkan identiti dan momentum Mega Gathering Honda RS150R, RSX150 & RSX Winner sejak tujuh tahun lalu. Penganjuran kali ini berjalan lancar, tersusun dan penuh warna, hasil koordinasi rapi antara penganjur, rakan komuniti, dan puluhan kelab yang bergerak sebagai nadi acara.
Skala penyertaan kali ini luar biasa apabila 5,000 peserta hadir dari seluruh pelosok negara, mewakili pelbagai kelab komuniti Honda dari serata Malaysia. Kehadiran ribuan pemilik dan peminat model RS150R, RSX150 dan RSX Winner bukan sekadar berkumpul, tetapi menjadi simbol kepada solidariti peminat kapcai yang berkongsi minat sama terhadap modifikasi, gaya tunggangan dan prestasi jentera.
Pintu acara dibuka seawal jam 9 pagi, dimulakan dengan ketibaan peserta dan sesi pendaftaran bagi kategori Motorshow, selain pendaftaran khemah kelab. Antara kelab yang hadir memberikan sokongan ialah Crew RS150 Perak Official dari negeri Perak, diketuai oleh sSaudara Zam. Konvoi dari Perak ini menjadi antara rombongan terawal yang tiba, menampilkan semangat perjalanan jauh demi memeriahkan acara.
Menjelang jam 10 pagi, kawasan stadium mula bergema dengan pelbagai aktiviti sukaneka antara kelab komuniti. Sesi ini turut disulami dengan cabutan bertuah dan pengagihan hadiah menarik yang disediakan oleh pihak penganjur. Fasa ini menjadi titik pemanas suasana, merapatkan lagi interaksi antara peserta dan kelab yang bertanding dalam semangat mesra komuniti.
Acara diteruskan pada jam 11 pagi dengan sesi temu ramah oleh Honda Motorcycle Malaysia, memberi sorotan khusus kepada Honda RSX Winner, terutamanya pada bahagian perubahan luaran dan dalaman enjin yang telah dilakukan pada model tersebut. Selepas itu, penganjur menyampaikan plat penghargaan kepada ketua kelab komuniti yang hadir, sebagai simbol apresiasi kepada rakan-rakan yang menyokong acara.
Sepanjang hari, dua segmen paling menonjol ialah Autoshow dan Dyno Battle, yang menampilkan jentera-jentera Honda RS150R, RSX150 dan RSX Winner yang telah diubah suai dengan sentuhan unik, jauh berbeza daripada spesifikasi asal kilang. Kedua-dua segmen ini menjadi medan mempamerkan kreativiti modifikasi dan kemampuan teknikal setiap jentera.
Kemuncak acara pastinya cabutan bertuah grand prize, yang menawarkan 2 unit motosikal sebagai hadiah utama; Honda RSX Winner Edisi Istimewa Lime Green, dan Honda RS150R Putih Versi Trico. Dua pemenang utama yang diumumkan adalah peserta dari Johor dan Kedah. Acara diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai bersama pemenang dan wakil kelab, sebelum masing-masing bersurai. Harapan seterusnya jelas, bertemu kembali pada tahun 2026 di Mega Gathering Honda RS150R, RSX150 & RSX Winner Edisi 8.0.
Perkongsian : Saudara Zam (CREW RS15O PERAK OFFICIAL)