Duc Bunga Pinky

Sama ada kebetulan atau memang itulah susur jalur sejarahnya, di Malaysia eksperimentasi motosikal berkuasa tinggi sebenarnya banyak diterokai oleh Kawasaki. Kita wajar berterima kasih dengan Kawasaki Malaysia yang memperkenalkan ER6N pemasangan tempatan (Thailand) yang cukup murah. Model awalnya sekitar RM30,000 sahaja. Ia telah membuka pasaran motosikal ini dan membawa jenama lain mencebur pasaran yang besar. Kini setiap pengeluar mengambil inisiatif CKD kan model entry level masing-masing untuk merebut pasaran ER6 tadi.

Aprilia ada Shiver, Honda ada CBR500, Yamaha ada MT-07 dan Ducati ada Monster 795. Masa zaman awal saya main motor dulu, harga 60,0000 untuk sebuah Ducati hanya boleh beli yang terpakai. Silap haribulan, kena bayar lebih lagi nak repair sana sini. Pinjaman? Jangan tanya, lebih perit sebab deposit pun kadang-kadang kena bayar separuh.

Kini semuanya lebih mudah bila bank nampak industri ini besar. Beli motor pun dah makin mudah dan harga pun sangat kompetitif. Itu melahirkan golongan baru penunggang. Sama ada kelompok remaja ataupun di kalangan wanita yang dahulunya lebih gemar memandu Perodua Myvi. Persekitaran motosikal nampak semakin meriah saban hari samada dengan wujudnya kelab dan konvoi ataupun berita nahas jalanraya pada setiap hujung minggu.

Cahaya Juhan atau nama timangannya Bunge juga menghadapi situasi yang sama ketika menceburkan diri kali pertama dalam arena motosikal berkuasa tinggi. Membeli Kawasaki ER6 pada 2010 adalah kemuncak kepada minat terhadap jentera 2 roda ini yang telah dimanfaatkan sepenuhnya.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini telah memulakan perjalanan jarak-jauh secara serius ketika memiliki Naza GTR, sebuah skuter 150cc dengan roda bersaiz kapcai yang pernah popular satu ketika dahulu. Konvoi pertamanya ialah ke Pulau Pinag dan ke Johor setahun berikutnya. Beliau juga berkelana ke Terengganu bersama kelab L.O.S.T Line of Scooter Tribe pada tahun 2010. Satu pencapaian yang memuaskan hati dalam aktiviti tetapi beliau dahagakan kuasa yang lebih lagi.

Pegawai pentadbiran yang menetap di Hartamas ini giat dalam aktivi permotoran kelab Ducati Malaysia atau DCM. Sejak memiliki Ducati Monster 795 ini beberapa tahun lepas, beberapa pengubahsuaian telah dilakukan. Skema warna motosikal ditukar dengan jaluran merah jambu dan putih. Sepasang ekzos slip-on SC Project dipasang untuk menghamburkan kuasa yang terpendam disamping menghasilkan bunyi yang lebih sporty.

Beberapa tahun kebelakangan ini adalah detik meriah bagi Bunge dengan aktiviti yang cukup bermakna. Pada 2012, beliau melibatkan diri dalam konvoi dari Kuala Lumpur merentasi Hatyai-Phuket-Krabi kemudian ke penang dan KL-Hatyai-Phuket-Krabi-Hatyai.

Tidak hanya dengan motosikal berkuasa tingginya sahaja, Bunge turut memiliki sebuah Vespa LX150. Beliau turut menyertai program konvoi jarak jauh pada Jun 2013 dengan laluan sama KL-Hatyai-Krabi-Hatyai-KL. Ia lebih memerlukan stamina dan minat yang mendalam untuk menunggang skuter kecil ini merentasi negara.

Beberapa ride kerap dilakukan sendirian apabila ada kelapangan waktu dan jika masa mengizinkan. Pada tahun ini juga beliau mengikuti program jelajah Malaysia yang dikenali dengan nama program ‘Bayi Prihatin’ anjuran Tg. Hasan. Selain itu ialah konvoi mengelilingi Malaysia oleh Jelajah Malaysia SAM dan Charity Ride 3 Nation di Melaka.

Sentiasa peka dengan perkembangan semasa, Bunge aktif dalam apa juga aktiviti permotoran setempat. Acara yang seringkali disertainya adalah seperti karnival permotoran, bike week, santai hujung minggu menjadi aktiviti rutinnya.