Model TVS yang popular di India, kini memasuki pasaran motosikal tempatan sekali gus merancakkan saingan motosikal tempatan dan memberi banyak pilihan kepada pengguna untuk memilih motosikal idaman mereka. Dua model berbeza, Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 dan TVS Neo X3i 110 dipertontonkan ketika Hari Malaysia pada 16 September lepas di Litar Elite Speedway, Puchong. Selain memberi kesempatan kepada media permotoran tempatan menunggang uji motosikal Apache RTR200 4V Race Edisi 2.0 di litar terbabit, majlis tersebut turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menguji model ini.
Apache RTR 200 4V Race Edisi 2.0 merupakan model generasi kedua selepas ia diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2016 lepas. Dibangunkan mengikuti spesifikasi jentera perlumbaan, Apache RTR 200 4V yang dipasarkan pada tag harga RM10, 950, dilengkapi enjin 198.7cc empat lejang silinder tunggal dengan janaan kuasa kuda 20.8 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum sehingga 18.1Nm pada 7,000 rpm. Model ini dilengkapi dengan teknologi enjin sejukan minyak dan ia mampu mengurangkan kepanasan enjin sehingga 10 peratus bagi memberi prestasi maksimum tanpa gangguan dari haba kepanasan.
Sesuai dengan reka bentuknya, Apache RTR 200 4V dilengkapi ‘klac slipper A-RT’ (Anti-Reverse Torque) untuk memberi pengurangan dalam pembaziran setiap kali berlaku penukaran klac. Panel meter LCD sepenuhnya menyediakan platform pelbagai fungsi juga mudah untuk dibaca si penunggang. Casis jenis ‘cradle’ terpisah, menjadikan model ini ibarat jentera perlumbaan khususnya bagi pengawalan kelajuan tinggi dan kawalan di selekoh serta penggunaan ekzos berkembar edisi perlumbaan.
Sementara itu, model moped TVS Neo X3i yang dirasmikan Pengerusi Daju Motors Sdn Bhd, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin juga, turut menarik perhatian media dan orang awam terutamanya pada pengenalan harga yang jauh lebih murah. Jentera kapchai ini dijanakan dengan enjin 109.7cc SOHC yang dikawal selia secara digital ‘mapping’ bagi menguruskan hantaran bahan api dan pembakaran yang menjana kuasa 8.5hp pada 8,000rpm dan tork 8.5NM pada 4,500 rpm.
Sekalipun, tidak banyak berbeza dengan segmen moped yang berada di pasaran tempatan, TVS Neo X3i bagaimanapun memiliki rekaan dengan ciri elegan terutamanya pada bahagian lampu hadapan. Model ini juga dilengkapi dengan sistem teknologi iEcono bagi membolehkan penggunaan bahan api dijanakan dengan teratur dan lebih efisien dengan kata mudah ia menjadikan model ini cukup ekonomi terhadap bahan api.
Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan iCharge – pengecas telefon yang membolehkan pemilik mengecas telefon pintar mereka tatkala meluncur di atas jalan raya selain rekaan rim sports yang agak bergaya. TVS Neo X3i boleh didapati pada empat warna pilihan iaitu Biru/Hitam, Merah/Hitam, Oren/Hitam dan Hijau/Hitam serta model ini boleh didapati pada tag harga serendah RM3,801.00 (tidak termasuk insuran perlindungan).