Acara tahunan Ekspo Motor Antarabangsa Thailand kini kembali buat kali ke-39 bermula dari 1 sehingga 12 Disember nanti. Salah satu pempamer yang pastinya menjadi daya penarik sepanjang ekspo ini berlangsung adalah Cub House Honda. Terdahulu, Cub House Honda telah memperlihatkan motor edisi khas yang akan dipamerkan iaitu Honda Monkey 125 2022 Cherry Edition.
Bagi makluman, Monkey 125 ini dilengkapi dengan gearbox 5-kelajuan dan pastinya satu berita yang menyeronokkan buat peminatnya. Model-model Monkey sebelum ini hanya didatangkan dengan gearbox 4-kelajuan. Mungkin ada di antara peminat Monkey mengharapkan satu hari nanti, ada ekstra gear dan kini harapan mereka sudah pun ditunaikan!
Bercerita tentang penampilan pula, Honda Monkey 125 2022 Cherry Edition ini ditawarkan dalam warna gabungan merah dan juga krim membuatkan ia nampak klasik seperti yang dinyatakan penerbitan Jepun Young Machine sebagai warna Monkey popular di pasaran Jepun sekitar tahun 1988.
Di bahagian hadapan, fork tiub berwarna merah yang diserikan dengan silver matte, begitu juga dengan fender depan dan belakang berwarna krom. Lampu utamanya juga mempunyai krom bezel seperti yang boleh ditemui pada mana-mana model moden Monkey, diikuti lampu bulat dengan kemasan krom.
Namun begitu, roda dan pelana tempat duduk telah dilayangkan warna hitam untuk membangkitkan kontras di antara warna merah dan krim tadi yang ada pada bahagian tangki minyak serta panel badan Monkey 125 2022 Cherry Edition ini. Pada bahagian panel, turut dilekatkan logo Honda yang berwarna hitam serta logo Cherry Edition yang dimeriahkan dengan buah ceri dan maskot kartun kegemaran Cub House (monyet) si Bobby Banana.
Panel sisi juga menampilkan tulisan Z berwarna, tulisan 125 berwarna merah dan logo Monkey berwarna hitam, bersebelahan dengan lubang kunci silver. Di sini juga disertakan buah ceri yang berada di belakang tulisan Z yang besar tadi di panel yang sama.
Bagaimanapun, masih tiada sebarang harga dikongsikan tetapi Cub House tetap membuka tempahan sepanjang ekspo ini berlangsung. Sekiranya mengunjungi atau melawati Thailand, anda boleh singgah ke 15 buah cawangan Cub House untuk bertanyakan maklumat lanjut tentang Cherry Edition ini.
Sumber : Rideapart, Club House Honda