Ditawarkan Dalam Warna Hitam dan Putih, Bakal Diedarkan Ke Semua Pengedar Sah CFMoto Seluruh Malaysia

Jenama CFMoto memperkenalkan model terbaharu iaitu 450SR. Berkuasa 450cc, model ini dilancarkan ketika pelancaran global di Intercity Istanbul Park di Turki baru-baru ini. Bagi pasaran Malaysia, CFMOTO 450SR akan dijual dengan harga permulaan sebanyak RM28,888.00 tidak termasuk insurans dan cukai Jalan.

CFMoto 450SR hadir dengan dua warna pilihan Hitam dan Putih yang akan mula diedarkan ke semua pengedar sah CFMoto di seluruh Malaysia pada minggu ini. Dengan pelancaran 450SR, CFMoto menjadikan model yang dianggap sebagai sebagai satu model konsep menjadi realiti. Dengan enjin dua silinder selari 450cc dengan kuasa maksimum 49.6hp pada 9,500rpm dan tork maksimum 39Nm pada 7,600rpm, 450SR kini mentakrifkan semula model CFMoto 450cc.

Shaft imbangan berganda turut disertakan untuk mengurangkan kesan getaran. Selain itu, enjin ditempatkan pada kedudukan penting di pusat graviti 450SR untuk meningkatkan kestabilan tunggangan tanpa menganggu prestasi ketika pengendalian. Selain itu, binaan silinder berkembar selari dan jarak roda yang lebih pendek membantu pengendalian yang lebih mudah. Wajah hadapan jenis terbelah menyerlahkan gaya siri Sport Racing (SR), dan alur yang dioptimumkan pada kedua-dua sisi bahagian hadapan membolehkan aliran udara lebih berkesan untuk mengurangkan kehilangan kuasa.

Reka bentuk fairing yang licin meningkatkan integrasi penampilan kenderaan. Reka bentuk juga ada efek pesongan yang boleh mencegah angin daripada membentuk arus pusar angin di bahagian-bahagian tertentu dan meningkatkan kestabilan kenderaan. Bagi rim pula, reka bentuk yang unik dan aloi aluminium berketahanan tinggi membantu pengurangan berat motosikal sambil mengekalkan rekabentuk sporti. Dari segi ergonomik, kombinasi kedudukan pedal tinggi dan bar hendal rendah menjadikan posisi tunggangan menjadi lebih selesa.

Suspensi hadapan dan belakang berorientasikan sukan permotoran membawa kepada kestabilan dan kebolehkawalan yang lebih baik. Lengan ayun belakang dan suspensi belakang disambungkan oleh struktur berbilang pautan yang biasa digunakan pada motosikal berkuasa tinggi untuk mengekalkan kestabilan kenderaan semasa tunggangan ekstrem.

Tidak dilupakan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) turut disertakan untuk mencegah roda daripada terkunci dan kehilangan daya cengkaman semasa pembrekan kecemasan. Serta, brek kaliper dari jenis brembo memberikan sistem pemberhentian lebih terkawal pada setiap masa.

Berhubung aspek teknologi, skrin paparan jenis melengkung TFT 5-inci menyokong paparan navigasi ringkas dan ada sistem peringatan. Teknologi pintar ini menjadikan tunggangan lebih menyeronokkan. Selain itu, 450SR juga dilengkapi sistem T-Box yang mempunyai modul 4G terbina dalaman dan sensor 6D, yang membolehkan sambungan telefon pada kenderaan, menyediakan fungsi seperti naik taraf perisian tanpa wayar melalui Over-The-Air, Unit Pengukuran Inersia (IMU), Sekuriti dan Anti-Kecurian,

Rekod prestasi, paparan informasi kenderaan masa-nyata dan pelbagai infomasi kepada penunggang dapat dinikmati tanpa kesukaran. Dengan ini, CFMoto 450SR memiliki prestasi terbaik dalam kelas 400-500cc. Dilengkapi platform enjin 450cc yang dibangunkan sendiri, 450SR menawarkan kuasa luar biasa, reka bentuk ringan, kebolehpercayaan dan ketahanan.

Bagi mereka yang berura-ura untuk memiliki sebuah jentera dalam segmen ala sportbike, ada berita baik untuk setiap pembelian jentera ini. CFMoto 450SR ditawarkan kepada bakal pembeli dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).