Bayangkan kita sedang menunggang motosikal dengan cermat dan gunakan isyarat, kita bawa motosikal pada kelajuan yang ditetapkan serta berpakaian lengkap. Tiba-tiba datang seorang Polis Trafik yang membunyikan siren motosikalnya dan suruh berhenti.
Inilah yang terjadi di Republik Singapura apabila seorang penunggang motosikal bernama Lee Joonmin keluar menunggang. Beliau menceritakan pengalamannya di halaman Facebook beliau. Semasa disuruh berhenti, beliau sudah berasa cemas.
“Apakah saya membuat kesalahan lalulintas? Atau saya menunggang terlalu laju tadi? Adakah saya menunggang dengan cara cuai atau merbahaya? Atau saya tidak memberi isyarat yang sepatutnya?”
Soalan-soalannya terjawab apabila pegawai Polis Trafik itu memberikan kata-kata terima kasih dan sokongan kerana Lee berpakaian sempurna ketika menuggang motosikal. Beliau juga dihadiahkan dengan sebuah beg yang mengandungi pelitup muka, sanitizer tangan, tisu basah, dan kad EZ-Link.
Rupanya pegawai polis itu sedang menjalankan tugas mengikut kempen “Menghargai Penunggang Motosikal (Reward the Riders)” yang menggalakkan penunggang motosikal berpakaian yang sesuai. Kempen ini telah bermula sejak 2019 lagi.