Mark Hawwa dari Sydney yang merupakan pengasas Distinguished Gentleman’s Ride (DGR), menganjurkan dan memperkenalkan acara ini pada tahun 2012. Beliau juga menubuhkan tabung dana kebajikan untuk kanser prostat dan program kesihatan untuk lelaki di seluruh dunia menerusi persatuan bermotosikal dunia. DGR menyatukan gaya permotoran para penunggang motor klasik dan vintaj seluruh dunia bagi mengutip dana untuk kebajikan dengan berpakaian ala-ala English Gentleman. Sejak beberapa tahun yang lalu, Malaysia tidak ketinggalan dan turut sama menyertai acara ini. DGR diadakan buat kali pertama di Kuala Lumpur, diikuti Pulau Pinang, Johor, Melaka, Kuantan, Kuching dan Sibu.
Diadakan buat pertama kalinya di Alor Setar pada 28 September lalu, DGR ini dianjurkan Throttle Riot dengan kerjasama Amet Norton British Custom Part Services bersama beberapa kelab tempatan di Alor Setar. Lebih kurang 195 rider telah mendaftar sebagai peserta secara atas talian, malah ada juga rider yang hadir kemudian pada hari acara berlangsung. Para peserta mula berkumpul seawal jam 7.30 pagi di Cafe Race Jalan Putra, Alor Setar yang turut menaja sarapan pagi. Para peserta yang hadir bukan sahaja datang dari Kedah, malah ada yang datang dari Pulau Pinang dan juga Perlis. Lebih kurang jam 9.00 pagi, para peserta konvoi bergerak ke Dataran berhadapan Masjid Zahir Alor Setar, Wisma Negeri untuk sesi bergambar.
Dalam perjalanan ke Keriang Hill Resort, konvoi berhenti di Petronas Jalan Gunung Keriang untuk jamuan ringan yang ditaja pemilik Petronas tersebut. Seterusnya konvoi bergerak ke Keriang Hill Resort. Para peserta disambut dengan ucapan ringkas oleh Raja Susrina Khalid dari Throttle Riot mengalu-alukan kedatangan peserta DRG. Disamping itu, En Amet bersama rakan biker bergerak pula bersama tabung kutipan dana untuk DGR. Antara motosikal yang terlibat seperti Café Racers, Bobber, klasik, klasik moden, flat tracker, scrambler, old school choppers, bart styled, classic scooters dan banyak lagi.
Bagi memeriahkan lagi penganjuran DGR ini, banyak lagi aktiviti turut diadakan termasuk cabutan bertuah sementara menunggu jamuan makan tengah hari yang ditaja oleh Rumah AOR. Sebelum selesai acara majlis Distinguished Gentleman’s Ride @ Alor Setar 2019. Pihak penganjur mengucapkan ribun terima kasih kepada barisan penaja yang terlibat untuk menjayakan acara yang diadakan buat pertama kalinya di Bandaraya Alor Setar. Pihak penganjur berharap dapat menganjurkan acara yang sama pada tahun hadapan dan mengharapkan kehadiran lebih ramai peserta rider lelaki dan wanita untuk DGR2020.
Disediakan oleh : ~kNor~