Semenjak sekatan merentas negeri ditarik balik dan aktiviti sosial dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan, program berkonvoi semakin rancak diadakan oleh kelab-kelab permotoran di seluruh negara. Ia bukan sesuatu perkara yang baharu atau luar biasa kerana peluang begini memang sentiasa dinanti-nantikan. Tidak terkecuali, Geng Vario Kulim yang menganjurkan program berkonvoi secara santai ke Castella Cafe.
Bagi makluman, kelab Geng Vario Kulim ini telah ditubuhkan pada 7 Ogos 2019 oleh saudara Nizam. Sebelum tercetusnya pandemik covid-19, Geng Vario Kulim ini memang aktif dan sering mengadakan pelbagai aktiviti. Setakat hari ini, keahlian kelab ini adalah seramai 119 orang, yang dianggotai ahli-ahli dari Kulim, kawasan sekitar Seberang Perai. Sungai Petani dan Pulau Pinang. Destinasi paling jauh yang pernah dikunjungi kelab ini adalah ke Thailand.
Berlokasi di Grik di negeri Perak, Castella Cafe begitu terkenal dan merupakan satu pilihan yang sangat tepat. Dianjurkan pada 27 November, para peserta yang melibatkan sebanyak 15 buah motosikal Vario terlebih dahulu telah berkumpul untuk mendengar taklimat ringkas oleh saudara Nizam bagi memperingati para peserta agar mematuhi undang-undang serta SOP yang telah ditetapkan.
Para peserta konvoi bergerak secara santai ke Baling untuk bersarapan di Route 67 Warung Mat Noi, satu lagi lokasi popular khususnya di kalangan rider yang menjadikan tempat ini sebagai destinasi persinggahan. Seterusnya, para peserta meneruskan perjalanan menuju ke Castella Cafe. Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, para peserta konvoi selamat tiba ke destinasi.
Kemudian, para peserta menjamu selera sambil ditemani kedinginan air sungai yang mengalir. Program berkonvoi ini turut disertai wakil majalah Roadstar kawasan utara, Pak Art. Setelah selesai menjamu selera dan bermandi-manda bagi menyegarkan badan, konvoi diteruskan ke Tasik Banding selepas perbincangan minit-minit terakhir diadakan. Para peserta menggunakan kesempatan ini menikmati keindahan semulajadi dan panorama hutan tropika Tasik Banding.
Sekitar pukul 8.00 malam, para peserta selamat pulang dan tiba di Kulim. Ucapan tahniah serta terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang begitu berdisiplin sepanjang program berlangsung sekaligus melancarkan lagi perjalanan konvoi pada kali ini.