Kemunculan semula jenama motosikal Suzuki di pasaran Malaysia diserikan dengan pelancaran enam buah model baharu, selain mengumumkan penjaga baharu jenama itu serta mewujudkan jaringan lebih daripada 70 pengedar jualan dan servis di seluruh negara.
Hari ini, seperti yang dijanjikan pada suku keempat tahun 2021, Suzuki Malaysia melancarkan model bersesaran 150 cc untuk pasaran tempatan. Ini sekali gus menandakan kemunculan semula jenama Jepun itu ke dalam pasaran motosikal kecil untuk Malaysia.
Tiga model baharu itu disasarkan kepada segmen golongan yang lebih muda dan mereka yang mahu mencari motosikal kegunaan harian yang dilengkapi dengan teknologi terkini, paling ringan dan mempunyai prestasi menyeluruh yang terbaik.
Suzuki GSX-R150 dan GSX-S150
Tidak dapat dinafikan bahawa GSX-R telah mentakrifkan semula kategori sportbike prestasi selama lebih 30 tahun dan lebih daripada satu juta unit terjual di peringkat global, ia merupakan kejayaan kejuruteraan yang membuktikan bagaimana para jurutera menghabiskan masa dalam memastikan nama GSX-R benar-benar bermakna kepada para peminatnya.
Setiap GSX-R berkongsi prinsip yang sama – paling ringan dan paling berprestasi di dalam kelasnya.
Dengan menggunakan mantera yang sama, Suzuki membawakan keseronokan yang serupa pada model Suzuki GSX-R150 dan GSX-S150.
Secara asasnya menggunakan enjin dan casis yang serupa, namun Suzuki GSX-R150 dan GSX-S150 mempunyai matlamat dan fokus tunggangan yang berbeza. GSX-R150 dengan rekaan reraup penuh itu menawarkan nisbah kuasa-kepada-berat serta pecutan yang terbaik di dalam kelasnya.
Rekaan panel badan yang terbukti dari terowong angin itu menawarkan kawasan unjuran hadapan yang terkecil di dalam kategori 150 cc, menjadikan pecutan GSX-R150 lebih baik, penggunaan bahan api yang menjimatkan, dan kestabilan tunggangan dengan mengurangkan daya angkat dan seretan.
GSX-R150 juga turut menggunakan kepingan panel badan dan reraup yang kuat, serta lebih ringan berbanding pesaingnya. Menggandingkan rekaan tersebut dengan ketinggian pelana rendah menawarkan kedudukan tunggangan yang lebih sporti khusus untuk peminatnya.
Sementara itu, GSX-S150 turut berkongsi prestasi yang serupa namun dengan tema naked bike, bar hendal tradisional, serta ketinggian pelana yang lebih rendah untuk prestasi tunggangan yang lebih selesa.
Sama seperti GSX-R150, GSX-S150 hadir dengan ciri standard seperti paparan kluster instrumen LCD, serta rekaan lampu utama yang disusun menegak.
Direka, diuji dan terbukti untuk pasaran Asean, Suzuki GSX-R150 dan GSX-S150 mampu menawarkan apa yang tidak didapati daripada pesaing-pesaing di dalam segmennya. Dengan menggunakan kemahiran yang diperoleh daripada pembangunan model lagenda GSX-R1000, para jurutera Suzuki telah membina mesin 150 cc sejukan cecair, empat injap, Double Overhead Camshaft (DOHC) yang mampu mencapai pecutan hebat dan kelajuan maksimum sambil meningkatkan rasa kelajuan yang terbaik.
Output kuasa maksimum ialah 14.1 kW @ 10,500 rpm sementara daya kilas maksimum pula 14.0 Nm @ 9,000 rpm. Angka prestasi ini direka untuk dinikmati bermula dari putaran enjin rendah sehingga ke rpm tinggi, dan mampu meningkatkan prestasi tunggangan baik di jalan bandar mahupun di jalan desa.
Enjin 150 cc itu menggunakan beberapa sorotan teknologi yang datang daripada model GSX-R1000 seperti:
1. Nisbah Bore dan Stroke yang dioptimasikan, diganding dengan kadar mampatan terbaik.
2. Sistem pancitan bahan api elektronik termaju yang menggunakan enam penderia untuk memberikan lebih kuasa dan kadar penjimatan bahan api yang lebih baik.
3. Menggunakan badan pendikit dengan diameter dalaman 32 mm yang terbesar di dalam kelas 150 cc untuk memberikan lebih kecekapan pada putaran rpm yang lebih tinggi, serta output kuasa yang lebih baik.
4. Sistem ekzos berprestasi tinggi yang membantu aliran kuasa yang berterusan dari kelajuan enjin rendah ke tinggi, not ekzos yang lebih mengujakan, serta dilengkapi dengan penukar bermangkin untuk memenuhi piawaian emisi Euro 3.
5. Bahan salutan silinder yang terbukti dari perlumbaan, Suzuki Composite Electrochemical Material (SCEM) digunakan untuk memastikan silinder aluminium lebih ringan berbanding unit konvensional, selain mengurangkan kadar geseran dan meningkatkan tahap ketahanan.
Suzuki GSX-R150 dan GSX-S150 menggunakan transmisi manual enam kelajuan dan nisbah pengurangan adalah berdasarkan pengetahuan GSX-R dalam memadankan sifat enjin yang memiliki output berkuasa tinggi. Ini membolehkan pengedaran kuasa yang lancar kepada roda belakang untuk pengalaman pecutan yang menakjubkan.
Sistem brek cakera kelopak terdiri daripada cakera bersaiz 290 mm di depan dan 187 mm di belakang yang menawarkan prestasi pemberhentian yang kuat, sementara tayar tanpa tiub 17 inci itu dibangunkan bersama syarikat Jepun IRC Tire untuk memastikan kestabilan di jalan lurus serta prestasi tunggangan di selekoh. Dengan memahami cara orang Asean menggunakan motosikal, Suzuki memastikan sudut stereng untuk jentera 150 cc ini dikekalkan pada 35 darjah, menjadikannya lebih praktikal ketika menempuh trafik.
Sistem elektronik moden juga turut digunakan di dalam Suzuki GSX-R150, seperti sistem tanpa kunci (untuk varian tinggi) yang mampu memudahkan penggunaan, di mana penunggang tidak lagi perlu tercari-cari kunci di dalam poket.
Sistem permulaan mudah Suzuki juga membolehkan enjin dihidupkan dengan hanya satu sentuhan sahaja, tanpa memerlukan penunggang untuk kekal menekan butang sehingga enjin dihidupkan. Paparan kluster instrumen LCD penuh menawarkan pelbagai informasi seperti kelajuan enjin yang akan berkelip pada julat putaran yang ditentukan oleh pengguna, kedudukan gear, amaran penukaran minyak hitam, meter perjalanan, bacaan penggunaan bahan api serta informasi yang berkaitan.
Suzuki GSX-R150 hadir dengan dua warna dan grafik menarik. Untuk gred tertinggi terdapat warna Suzuki MotoGP (Metallic Triton Blue) dan Red Titan Black dengan logo SUZUKI yang besar.
Sementara GSX-S150 pula tampil dengan dua warna menarik seperti Aura Yellow/Pearl Brilliant White dan Metallic Triton Blue.
Harga jualan pengeluar yang dicadangkan adalah seperti berikut:
GSX-R150 – RM11,329.00 tanpa cukai jalan dan insurans
GSX-S150 – RM10,289.00 tanpa cukai jalan dan insurans
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000 km, yang mana tiba dahulu.
Selamat kembali Raider R150 Fi
Suzuki Belang F150 telah menjadi satu model motosikal yang unik di pasaran Malaysia, di mana ia telah mencipta kultus tersendiri dan dihormati kerana prestasinya. Sehingga kini, terdapat ribuan penunggang dan peminat yang berterusan menyokong produk tersebut.
Meneruskan tradisi, Suzuki Malaysia telah membawakan versi terkini Suzuki Raider R150 Fi dalam masa yang sama mengekalkan nilai yang menjadikannya begitu digemari komuniti dua roda di sini.
Enjin bucket-tappet DOHC empat injap 150 cc itu merupakan nadi yang paling berkuasa pernah dipasang pada Raider R150 Fi. Tidak cukup sekadar peningkatan kuasa (naik 2 kW dan 1.3 Nm kepada 13.6 kW @ 10,000 rpm dan 13.8 Nm @ 8,500 rpm, para jurutera memastikan kuasa tersebut boleh dirasai pada keseluruhan julat kelajuan enjin, dari rpm rendah hingga rpm tertinggi.
Sistem penyuntik bahan api jenis empat lubang yang digunakan menyuntik jumlah bahan api yang optimum untuk memastikan kuasa yang lebih hebat, serta kecekapan bahan api yang lebih baik. Enam penderia terbina di dalam enjin untuk memastikan data yang mencukupi dikumpulkan untuk ECM bagi menentukan nisbah terbaik untuk prestasi enjin yang terbaik.
Penggunaan injap berdiameter lebih besar (24 mm berbanding 22 mm untuk diameter luar injap kemasukan, dan 21 mm berbanding 19 mm untuk injap ekzos) memastikan kecekapan terbaik dari segi output kuasa atau penggunaan bahan api untuk enjin 150 cc itu.
Silinder bersalut SCEM (Suzuki Composite Electrochemical Material) yang digunakan dalam motosikal sports besar Suzuki turut digunakan pada Raider bagi memastikan penunggang dilindungi daripada deformasi haba dan dalam masa yang sama mengurangkan geseran.
Diameter saluran ekzos yang lebih besar (31.8 mm berbanding 25.4 mm pada model terdahulu) memberikan tindak balas yang optimum daripada enjin untuk sepanjang julat putaran enjin.
Suzuki Raider R150 Fi yang baharu ini didatangkan dengan rangka Suzuki Advanced Twin Spar yang menawarkan keseimbangan antara peningkatan ketegaran, serta berat rangka yang lebih ringan, dan dalam masa yang sama menawarkan kebolehgerakan dan kestabilan yang unggul sama seperti model GSX-R.
Aspek keselamatan penunggang menjadi keutamaan, dan untuk itu Suzuki telah memasang tayar tanpa tiub IRC Tire yang menawarkan pengurangan rintangan golekan sebanyak enam peratus, memperbaiki kadar pecutan dan kadar cengkaman yang mencukupi untuk tunggangan yang lebih meyakinkan.
Brek cakera kelopak mampu untuk menghilangkan tenaga haba dengan lebih cepat, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan ketika tunggangan di kawasan berbukit. Rekaan pelana serba baharu yang tampak sporti itu menawarkan tahap keselesaan yang sama seperti model terdahulu.
Tunggangan malam kini lebih selamat di mana Raider R150 Fi dilengkapi dengan mentol LED untuk suluhan rendah dan tinggi. Ia bukan sahaja meningkatkan tahap penglihatan, malah mempunyai jangka hayat yang lebih lama dan menggunakan tenaga yang rendah.
Pemegang bar hendal didatangkan dengan rekaan zig-zag yang selesa sama seperti model GSX-R, sementar cermin sisi pula menawarkan rupa yang lebih moden, dengan saiz yang lebih besar untuk penglihatan dan keselamatan yang lebih baik.
Kemudahan penyelenggaraan juga turut menjadi keutamaan pada model Raider R150 Fi, dan ia merupakan motosikal underbone bawah 150 cc pertama yang hadir dengan rekaan rantai tertutup baharu. Penggunaan rantai ini bukan sahaja memastikan ia tidak akan memanjang daripada dimensi lalainya, malah ketahanan rantai juga turut dipertingkatkan.
Panel instrumen LCD penuh menyediakan pelbagai informasi yang diperlukan, sementara rekaan badan yang ramping dan ringan itu menawarkan prestasi tunggangan urban yang bukan sahaja mengujakan, malah praktikal.
Suzuki Raider R150 Fi hadir dengan dua warna menarik dengan grafik yang berpadanan iaitu Titan Black dan Metallic Mat Stellar Blue/Titan Black. Harga jualan pengeluar yang dicadangkan untuk Suzuki Raider R150 Fi bermula dari RM8,173.00 tanpa cukai jalan dan insurans. Jaminan standard adalah selama 2 tahun atau 20,000 km yang mana tiba dahulu.