Dikemaskini Dengan Tujuh Penambahbaikan dan Warna Baharu

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), anak syarikat kumpulan DRB-HICOM Group, mengemaskini penawaran skuter popularnya menerusi pengenalan Z15GT yang menerima siri penambahbaikan produk berserta pilihan warna dan grafik baharu. Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan jenama tempatan berkenaan dalam meningkatkan kualiti serta kepuasan pemilikan buat para pelanggan.

Semua unit baharu MODENAS Z15GT kini dilengkapkan secara standard dengan pakej peningkatan penuh yang dibangunkan menerusi Z15GT Care Programme. Kemaskini ini merangkumi tujuh penambahbaikan khusus pada bahagian teknikal dan kemasan jentera bagi memastikan ketahanan yang lebih optimum untuk tunggangan harian.

Antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan termasuklah sistem saliran takungan limpahan (overflow tray) yang diperkemas, salutan serta pelekat perlindungan tambahan pada suis tombol pemula, dan rekaan bolt serta collar penutup penyuntik bahan api baharu. Selain itu, penunjuk paras minimum pada tuas brek hadapan turut ditambah bagi memudahkan pemantauan cecair brek.

Aspek ketahanan luaran dan sistem elektrik turut diberi perhatian menerusi struktur klip penutup sisi, penutup soket tambahan bagi melindungi wire-harness daripada pendedahan air, serta rawatan perlindungan pada solder points di dalam perumah suis kiri dan kanan.

Bagi pilihan gaya, Z15GT kini hadir dengan dua skim warna baharu iaitu Lime Green dan Amazon Green. Pilihan warna Lime Green membawakan ilham daripada identiti rona ikonik Kawasaki untuk penampilan yang lebih berani dan sporty, manakala Amazon Green menawarkan gaya alternatif yang unik dan elegan.