Dijual Pada Harga RM9.1K Seunit Di Vietnam Bermula Mei Lalu

Honda Vietnam Company (HVN) memperkenalkan varian baharu ke dalam keluarga Winner X yang dikenali sebagai Sport ABS. Ditawarkan pada harga 48.9 juta dong atau RM9,210 seunit, Winner X Sport ABS tampil dengan warna perak hitam bersama grafik baharu yang menarik.

Model yang diberi nama RS150R di Malaysia dan Supra GTR di pasaran Indonesia itu juga didatangkan dengan kemasan berwarna merah pada bahagian kepala, hadapan, sisi dan belakang. Antara perbezaan ketara berbanding model terdahulu ialah tulisan ‘SPORT” pada bahagian sisi yang menggantikan perkataan Winner X.

Menjadi model pertama yang dilengkapi sistem brek ABS di Vietnam, ia sudah boleh dibeli bermula 8 Mei lalu. Jentera itu masih menggunakan khidmat enjin 150cc selinder tunggal dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI berkuasa 15.4hp dan tork 13.5Nm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan. Winner X Sport ABS juga dipasang dengan lampu LED rekaan moden. Aspek pengendalian pula diserahkan kepada suspensi jenis teleskopik untuk roda hadapan dengan saiz roda 90/80 (depan) dan 120/70 di belakang. Pada Julai tahun lalu, HVN melancarkan Winner X dan nyata mendapat sambutan hangat. Sehingga kini, dikatakan lebih 300,000 unit telah terjual di sana.

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ