Dijangka Berada Di Pasaran Pada Tahun 2022 Dengan Ciri-Ciri Pematuhan Euro 5

Tahun ini menyaksikan pelbagai barisan motosikal BMW yang menampilkan kelengkapan terbaharu untuk model 2021, tetapi tiada khabar berita tentang jentera yang mampu mengembara paling jauh iaitu K 1600. Kali terakhir K 1600 GT bersama K, GTL dan B dikemaskini adalah pada tahun 2017, ini sedikit sebanyak mencetuskan spekulasi samada era K 1600 telah pun berakhir.

Mungkin peminat jentera 6-silinder ini boleh menarik nafas lega kerana Bavarian dikatakan telah mengemaskini model K 1600 untuk keluaran tahun 2022. Tidak banyak yang diketahui termasuk spesifikasi sebenar dan apa yang bakal ditambahkan untuk model terbaharu ini. Apa yang pasti, motor ini bakal dilengkapi dengan enjin, ekzos, pemetaan baharu dan mematuhi piawaian Euro 5.

Bercakap tentang prestasi, barusan model terbaharu K 1600 model dijangka mengekalkan kuasa dari enjin inline-6-silinder 1,649cc. Konfigurasi enjin yang unik ini dipasangkan di posisi melintang pada kerangka, memberikan hujung hadapan yang lebih luas sekaligus membezakan ia daripada motor-motor seperti Honda Gold Wing.

Dengan kedudukan silinder ke hadapan pada 55 darjah, motor ini mempunyai pusat graviti yang rendah, memberikan kestabilan yang meyakinkan terutamanya pada kelajuan tinggi. Lebih banyak yang boleh diharapkan dari motor terbaharu ini lebih dari pematuhan Euro 5. Apa-apa pun, kita perlu tunggu untuk pengumuman rasmi dari BMW sendiri.

Sumber : Rideapart / Motorrad