Dihangatkan Dengan Penganjuran Aras Niaga Offroad Challenge (ANOC)

Sukan lasak dunia permotoran semakin mendapat tempat di kalangan para peminat yang kian bertambah bilangannya. Begitu juga dengan tapak-tapak sukan lasak yang sudah bertambah bagi memberi ruang dan peluang untuk para peminat sukan ini mempamerkan bakat masing-masing. Baru-baru ini, satu lagi tapak sukan lasak telah dirasmikan.

Bertempat di Sungai Tok Pawang, Mukim Semeling telah berlangsungnya majlis perasmian Aras Niaga Extreme (ANEX) yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Darul Aman, Y.A.B Dato’ Seri Hj. Muhammad Sanusi Bin Md Noor dan Pengerusi Kumpulan Aras Niaga Berhad, Dato’ Muhamad Annas Bin Mohamad Anuar.

Bagi merasmikan tapak sukan lasak ini, turut dianjurkan ialah Aras Niaga Offroad Challenge yang diadakan selama tiga hari bermula dari 19 hingga 21 November lalu. Program ini dianjurkan dengan kerjasama PEMBELA dan GKKNK yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kenderaan 4×4 dan motosikal.

Sebanyak dua kategori telah disediakan untuk kenderaan 4×4 iaitu Super Open dan Lite Core. Manakala untuk motosikal pula, aktiviti Funtrail dibahagikan kepada 3 kategori; Cubcross Standard, Cubcross Open dan Motorcross dengan jarak 10.5km.

Tahniah diucapkan atas perasmian tapak sukan lasak Aras Niaga Extreme Park (ANEX) dan juga aktiviti pertama anjurannya yang berjaya menerima penyertaan dan sambutan menggalakkan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Jabatan Kerajaan yang terlibat termasuk penaja, barisan kru dan marshall yang bertugas, para peserta dan penonton yang sanggup menghadirkan diri tanda sokongan.