Didatangkan Dalam 2 Varian, Harga Bermula Dari RM104,500

Pasaran tempatan dimeriahkan lagi dengan kedatangan motosikal dari BMW dan kali ini, BMW Motorrad Malaysia mendedahkan S 1000 R 2021 yang didatangkan dalam dua varian; S 1000 RR Style Sport dan M Package. Kedua-dua varian ini ditawarkan pada harga bermula dari RM104,500 untuk Varian Style Sport dan RM119,500 untuk M Package.

Bagi varian Style Sport, jentera ikonik ini telah dibangunkan menggunakan kerangka flex frame yand dilayangkan dengan warna Hockenheim Silver Metallic (perak). Manakala untuk varian M Package pula didatangkan dengan kombinasi warna iaitu putih (Light White), merah (Racing Red) dan biru (Racing Blue Metallic).

BMW S 1000 R ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 999 cc yang mampu menghasilkan 207 hp @ 13,500 rpm dan tork 113 Nm @ 11,000 rpm. Ia dilengkapi dengan teknologi BMW ShiftCam dan penggunaan bahan api serendah 6.4 liter untuk setiap 100 km. Sebanyak empat mod tunggangan disediakan; Rain, Road, Dynamic dan Race.

Selain itu, BMW S 1000 R ini turut dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik seperti Dynamic Traction Control, ABS Pro, BMW Motorrad Integral ABS, Dynamic Engine Brake Control (DBC), Dynamic Damping Control (DDC), Cruise Control serta HP Shift Assistant Pro.

Manakala BMW M Package pula menawarkan BMW M Endurance Chain secara eksklusif, ia bebas penyelenggaraan dan meminimumkan impak alam sekitar. Kelengkapan dan aksesori eksklusif yang ditawarkan bagi varian BMW M Package meliputi tempat duduk M Sport, bateri M serba ringan, peredam bunyi sport dan M GPS Laptrigger.

Kedua-dua varian BMW S 1000 R baharu boleh didapati di pusat pengedaran terpilih BMW Motorrad di seluruh negara mulai 27 Ogos 2021.

Sumber : Mekanika