Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, tuan pengerusi majlis iaitu saudara Amerrudin Bin Che Ali atau lebih dikenali dengan sapaan Amet Norton bersama rakan-rakan AJK beberapa grup permotoran di Kedah mengadakan perbincangan bagi menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya. Begitu juga tahun ini bagi memastikan kelancaran penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Sahabat Permotoran Utara buat kali yang ke-8.
Diadakan di No.28 Dewan D’Awangan Jalan Alor Mengkudu, berhadapan dengan pasaraya Mydin, majlis ini berlangsung pada hari raya ke-14 bersamaan hari Jumaat yang lalu. Bermula dari pukul 5.00 petang dan berlanjutan sehingga pukul 9.00 malam. Penganjuran majlis rumah terbuka tahun lalu menyaksikan kehadiran lebih kurang seribu pengunjung dan untuk kali ini, dimeriahkan dengan kehadiran lebih seribu pengunjung.
Kemeriahan sambutan Majlis Rumah Terbuka ini lebih dirasakan dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan termasuk penyediaan makanan serta ketibaan para pelajar tahfiz untuk bacaan tahlil dan solat asar. Selain itu, majlis diserikan lagi dengan sesi bacaan doa, cabutan bertuah seterusnya jamuan makan. Majlis juga bertuah kerana menerima ucapan dari Ustaz Yaziz yang dikenali sebagai Tok Ayah.
Tidak ketinggalan, majlis dimeriahkan lagi dengan sesi penyampaian sijil kepada semua wakil grup permotoran yang hadir diikuti sesi cabutan bertuah yang ditaja oleh beberapa grup permotoran Utara ini. Manakala sumbangan duit raya adalah dari ADZ Motors Sdn Bhd (Azim) dan Kedai Mas Hajjah Halijah. Seterusnya, majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan santai dari Live Band.
Menurut En Amer, beliau dan beberapa rakan bikers classic dari Kedah terlibat dalam ride Kuala Terengganu untuk acara MICBF (Malaysia International Classic Bikes Festival). Ucapan ribuan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja yang menjayakan program Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Utara kali ke-8 ini.