Dari Kepong Ke Juru, Nostalgia Penjelajahan Bermotosikal Kembali Menderu

Selepas 6 tahun tanpa sebarang aktiviti bermotor bersama Honda, kali ini wakil media diberi peluang menunggang motosikal Honda RSX Winner dalam satu konvoi yang diberi nama ‘Media Ride OG Sebenar RS-Winner sekali gus mengembalikan nostalgia ‘penjelajahan’ bermotosikal yang dianjurkan jenama Jepun itu.

Meskipun sering kali diberi peluang oleh Boon Siew Honda (BSH) menunggang uji beberapa model terbaharu, aktiviti Media Ride OG Sebenar RS-Winner sesuatu yang berbeza dan mempunyai keunikan bagi kami wakil media.

Untuk makluman, penulis sebelum ini telah diberi kesempatan untuk menguji model yang sama. Namun dek kesuntukan masa, penulis terlepas untuk menyiapkan artikel berkaitan model paling hot dari Honda ini. Begitupun, pelawaan Honda hadir bagaikan ‘pucuk dicita, ulam mendatang’. Peluang ‘ride’ dan lawatan kilang Honda sesuatu yang tidak boleh dilepaskaan begitu saja.

Ditambah dengan penulis juga sebenarnya sudah berkarat dan agak lama tidak menunggang jentera kapchai untuk satu perjalanan yang boleh dikatakan agak jauh, aktiviti kali ini agak menarik untuk disertai. Perjalanan dari Lembah Klang Ke Pulau Pinang meliputi jarak sekitar 350kilomer, bukan sesuatu yang dekat. Malah secara peribadi, penulis lebih selesa untuk memilih jentera yang lebih besar dari segi kuasa dan keselesaan untuk jarak sejauh itu.

Namun, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh beberapa wakil yang terpilih. Terdapat hampir 20 wakil media & KOL terbabit dalam “Media Ride OG Sebenar RS-Winner. Bermula dari cawangan Honda di Kepong hingga ke Ibu Pejabat Boon Siew Honda di Pulau Pinang dan ia diselang seli dengan pengisian yang wajib bagi mana-mana aktiviti jelajah.

Pengisian bahan api, makan tengahari, cuaca yang ekstrem adalah perkara-perkara wajib yang dihadapi oleh peserta ride tetapi ia sebenarnya agak menyeronokkan bagi penulis dan wakil media lain. Sebelum ‘tayar golek’ dimulakan, wakil media diberi penerangan serba ringkas dari wakil Honda, Atiqah Amira perihal konvoi ini. Menurut pemahaman penulis, ride kali ini, bukan sekadar menguji keupayaan sebenar model Honda RS-X Winner ini malah turut terkait rapat dengan stamina wakil media itu sendiri.

Untungnya, kami (wakil media) dibahagikan kepada dua kumpulan. Penulis berada dalam group B yang akan memulakan tugas dari Ipoh, Perak atau lebih tepat lagi di Tasik Cermin hingga Juru, Pulau Pinang. Sementara rakan media dalam kelompok peserta pertama (group A), mereka akan memulakan tayar golek bermula dari pejabat Boon Siew Honda di Kepong dan berakhir di port makan di Ipoh.

Selepas mengisi perut untuk makan tengahari di di Kin Loong, Tasik Cermin, Ipoh tibalah penulis dan wakil media yang berada kumpulan B bagi menyambung perjalanan ke Pulau Pinang. Malang bagi penulis, sebaik melepasi jambatan Sungai Perak menghala ke Kuala Kangsar, konvoi berdepan cabaran dengan hujan lebat. Tetapi bagi penulis, hujan lebat bukan sahaja rahmat, malah ia satu kesempatan kepada kami untuk menguji sepenuhnya jentera ini.

Terdahulu, kumpulan penulis hanya bergerak pada jalan raya yang kering namun dengan situasi hujan sebegini dapatlah penulis melenjan dan memerah tahap keupayaan Honda RS-X Winner di atas jalan raya basah. Hasil meredah hujan penulis simpulkan bahawa keupayaan jentera ini wajar di puji. Gerakan gear cukup lancar dan lembut. Berbanding model sebelum ini, RS-X Winner yang dipadankan dengan sistem assist & slipper sekali gus memberi keyakinan kepada penulis tatkala berdepan hujan lebat.

Di usia 50an, tahap keupayaan badan terutamanya pinggang dan punggung bagi penulis memang perlu diambil kira. Namun kedudukan (posisi) Honda RS-X Winner ketika menunggang memberi sedikit kelebihan buat penulis. Ia agak tinggi sekali gus tidak memenatkan untuk perjalanan jarak jauh.

Di bahagian punggung juga tidak terasa kebas mungkin disebabkan pelananya juga tidak terlalu keras. Cukup untuk menampung berat penulis yang menghampiri 74kg. Begitu pun, situasi hujan yang tidak pernah reda, memaksa kumpulan kami mencari perlindungan di bawah jambatan.

Semasa ‘pertarungan’ dengan hujan, penulis memuji tahap maksima tayar kedua-dua bahagian ini. Sistem brek berserta sistem ABS yang digunakan juga turut berfungsi dengan baik sekali pun air mencurah-curah di atas jalan raya.

Sekali pun ada beberapa bahagian yang penulis rasa ada kelemahan dan perlu dipertingkatkan, hal tersebut mungkin sudah diambil kira oleh pihak pengeluar BSH. Kami selamat sampai ke hotel sekitar jam 5 petang selepas agak terlalu lama ‘bermesyuarat’ stesen minyak di Juru.

Memasuki hari terakhir (hari kedua) wakil media diberi kesempatan untuk ‘menjelajah’ kilang Honda yang terletak di Kawasan Perindustrian Batu Kawan. Ini mungkin kali ke-4 penulis merasai proses jentera-jentera Honda dipasangkan dikilang terbabit.

Selain itu, wakil media turut diberi peluang untuk menanyakan pelbagai persoalan samada membabitkan jentera Honda RS-X Winner atau pelbagai persoalan tambahan yang lain semasa sesi soal jawap usai lawatan kilang. Alhamdulillah. Segala persoalan dan pertanyaan yang diajukan oleh wakil-wakil media dijawab dengan Eddick Cheah, Pengurus Komunikasi Penjenamaan BSH dan wakil Honda yang lain.

Walaupun sesi soal jawab agak panas, namun wakil-wakil BSH memberi jawapan yang cukup porofesional. Persoalan dan pertanyaan yang dilontarkan oleh wakil media bagi pihak BSH diambil secara positif. Sebenarnya, penulis tertarik dengan sikap malah layanan dari wakil BSH. Bukan sahaja layanan sepanjang ride dari Kepong ke Juru boleh diberikan status 5 Bintang, namun dari soal persoalan dan isu yang dibangkitkan oleh media juga turut mendapat reaksi positif dari mereka (BSH).

Dari pengamatan penulis sepanjang 30 tahun berkecimpung di bahagian penulisan, Boon Siew Honda (BSH) kekal positif dan memberi yang terbaik kepada semua wakil media tempatan. Begitu juga halnya dengan penulis, yang mahu jenama Honda terus kekal utuh dan menjadi pilihan No.1 rakyat Malaysia seperti mana dalam banyak tag line model Honda terdahulu.

“Tiada jenama yang lebih agung daripada Honda. Malah bagi mereka yang sinonim dengan jenama ini, Honda adalah pilihan yang bijaksana sehingga ke hari ini”.

HONDA RS-X WINNER
Jentera Padu, Pengendalian Mengkagumkan

Sebenarnya model Honda RS-X Winner ini dilancarkan sejak awal tahun di Litar Horizon. Honda telah memberi peluang kepada wakil media termasuk Road Star untuk menguji jentera ini.

Dari segi penampilan, ia tidak banyak berbeza dengan model terdahulu, RSX. Memang terdapat beberapa fizikal yang berbeza dengan model terdahulu sekiranya diamati dengan betul. Begitu juga ciri-ciri lain sudah dipertingkatkan termasuk beberapa kelemahan antaranya soal ketahanan ‘balancer, sistem oil strainer yang bertukar dari oil filter dan pelbagai isu lain yang sering mengundang kecaman para netizen.

Sesi ride Honda Media menunjukkan model RS-X Winner masih lagi antara pencabar dalam kategori jentera 150cc malah ia tetap sebaris dengan pencabarnya. Sepanjang ride tersebut, penulis merangkumkan bahawa model ini telah diberikan peningkatan dari segi hantaran kuasa, sistem keselamatan dan sudah tentu dari segi rupabentuknya.

Model ini digerakkan dengan enjin bersesaran 150cc, silinder tunggal, DOHC dengan sistem penyejuk cecair yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.8kW pada 9,000rpm dan tork 13.6Nm pada 7,000rpm. Ia tersedia dengan 4 warna menarik iaitu Biru, Kuning, Hijau dan Matte Grey dan harga yang disyorkan adalah RM9,998 (harga asas).

Spesifikasi Honda RSX-Winner
• Sesaran 149.2 cc
• Kuasa Maksimum 15.8 hp
• Kapasiti Tangki Bahan Api 4.5 L
• Pemacu Rantai Jenis Pemacu
• Nisbah Mampatan 11.3:1
• Jenis Enjin Silinder Tunggal, 4-Lejang, 4 Injap, Disejukkan Cecair, Enjin DOHC
• Lejang X Gerbang57.3 mm x 57.8 mm
• Klac Manual Jenis Klac Berbilang Plat Basah dengan Klac Bantuan & Selipar
• Bilangan Silinder 1
• Paip Ekzos Ekzos Tunggal
• Tork Maksimum 13.6 Nm
• Sistem Penyejukan Disejukkan Cecair
• Konfigurasi Injap DOHC
• Bilangan Strok 4-Lejang
• Injap Setiap Silinder 4
• RPM pada Tork Maksimum 136Nm pada 7000 rpm
• RPM pada Kuasa Maksimum 11.8kW pada 9000 rpm