Dari Besi Usang ke Jentera Paling Disayang

Bukan sekadar motosikal lama, Yamaha Sport berwarna kuning ini menyimpan seribu satu kisah buat pemiliknya Jaq Kapcai. Bermula dengan hanya RM150 dan keadaan yang serba daif, jentera ini kini menjadi simbol usaha, minat, dan kasih sayang yang tidak ternilai.

Dari sebuah jentera lama yang terbiar akibat banjir kepada sebuah motosikal retro yang mencuri perhatian setiap kali keluar ride. Itulah kisah luar biasa Abdul Razak bin Buhari yang lebih dikenali dalam kalangan komuniti kapcai sebagai Jaq Kapcai, dari Kulim, Kedah.

Segalanya bermula pada tahun 2021 apabila beliau membeli sebuah Yamaha Sport 1992 yang uzur dari seorang pemilik di Baling dengan harga hanya RM150. Ketika itu, motosikal tersebut dalam keadaan menyedihkan kerana tersadai lama dan pernah ditenggelami banjir. Namun, bagi Jaq, ia bukan sekadar jentera tetapi permulaan kepada satu perjalanan penuh minat, cabaran dan kepuasan.

“Saya mula dari kosong. Semua saya baiki dari A sampai Z. Enjin, cat, covershort. Semuanya saya kumpul sikit demi sikit. Total kos lebih RM3,000 jugalah,” katanya sambil tersenyum puas melihat hasil restorasi yang kini benar-benar mengagumkan.

Awalnya, jentera ini dicat dengan warna asal iaitu biru, lengkap dengan covershort asli yang sukar didapati. Namun, demi kelainan dan gaya yang lebih berani, Jaq akhirnya memilih warna kuning terang. Keputusan yang menjadikan motosikalnya lebih menonjol dalam kalangan peminat Yamaha Sport. Kini, warna kuning itu menjadi identiti unik buatnya di jalan raya.

Sebagai ahli kelab Yamaha Sport Northern Community (YSNC), Jaq aktif menyertai konvoi dan ride ke pelbagai lokasi seperti Kelantan dan Perak. Motosikalnya bukan sahaja menjadi kenderaan tetapi juga lambang kepada usaha gigih dan cinta terhadap dunia dua roda.

Tambahan aksesori seperti Box Givi, kura-kura, meter RPM, meter bateri dan sportrim menambah seri serta prestasi motosikal kesayangannya itu.

“Saya memang puas hati walaupun banyak duit dah keluar. Bagi saya, kepuasan tu tak ternilai bila tengok hasilnya. Bila ride, orang pandang, warna kuning ni lain dari yang lain,” katanya dengan bangga.

Kini, Jaq menjadi tuan ketiga Yamaha Sport tersebut. Walaupun identiti pemilik pertama tidak diketahui, jentera itu kini berada di tangan yang tepat. Semangat dan dedikasi Jaq membuktikan bahawa minat yang mendalam mampu menghidupkan semula sebuah motosikal lama menjadi satu karya seni yang penuh jiwa.

“Kalau jumpa saya atau nampak motor kuning ini kat mana-mana, hon la sikit tanda support!” pesan Jaq kepada rakan-rakan bikers di luar sana.

Spesifikasi
Motor : Yamaha Y100
Tahun Dibuat : 1992
Tarikh Daftar : 24/07/1992
Usia : 33 Tahun
Keupayaan Enjin : 102
Status Asal : Pemasangan tempatan
Harga Asal : RM2+++

Custom
Fork : Standard Asal
Ekzos : Standard Asal
Arm : Standard Asal
Rim : Standard Asal
Tayar : FKR (depan), FKR (belakang)
Box : Box baju hujan (tengah), Givi (belakang)
Bawah raga : Pelapik kepak (kura-kura)
Meter : RPM (depan), Bateri (belakang)
Seat : Custom Warna
Spoket : Standard Asal
Warna Motor : Kuning
Cermin Sisi : Salinan Asal
Lampu Depan : LED
Enjin : Kekal Asal
Signal : fungsi berganda bila kecemasan
Plate : Pelekat (depan), tin (belakang)