Dari Barisan Konvoi ke Kehangatan Litar, Disiplin dan Kemeriahan Bergerak Seiring

Barisan motosikal bergerak seiringan, deruman enjin menjadi irama perjalanan CRS Perak Official menuju ke acara berprestij Honda Thanks Day 2025. Konvoi ini menyusuri laluan menuju LY Circuit, Cheras, Kuala Lumpur, mencerminkan kesepaduan ahli serta sokongan berterusan komuniti terhadap jenama Honda.

Perjalanan konvoi bermula di Honda Impian X – Welly Team PJ, yang menjadi lokasi perhimpunan rasmi CRS Perak Official. Ahli kelab berkumpul dalam suasana teratur untuk pendaftaran dan sesi beramah mesra. Kehadiran dengan pakaian rasmi Honda Thanks Day 2025 menyerlahkan identiti kelab serta disiplin yang menjadi teras setiap pergerakan.

Sebelum konvoi dilepaskan, satu taklimat konvoi telah disampaikan oleh Boss Sam Welly, merangkumi aspek keselamatan, susun atur perjalanan dan etika tunggangan. Taklimat ini menekankan kerjasama serta toleransi di jalan raya. Acara diteruskan dengan sesi fotografi berkumpulan bersama Boss Sam Welly dan kakitangan Welly Team PJ sebagai simbolik kebersamaan dan kenangan sebelum berlepas.

Konvoi CRS Perak Official bergerak secara rasmi dari lokasi perhimpunan dengan barisan motosikal yang tersusun rapi. Sepanjang perjalanan, disiplin tunggangan dan formasi kemas jelas diperlihatkan. Pergerakan ini bukan sahaja menarik perhatian pengguna jalan raya, malah mencerminkan kematangan dan profesionalisme komuniti.

Setibanya di LYL International Karting, peserta disambut dengan suasana acara yang meriah. Sesi bergambar bersama pihak pengurusan BSH diadakan sebelum kemunculan pelumba MotoGP yang disusuli Exhibition Lap. Acara diteruskan dengan Spotlight Moment yang memberi fokus kepada pencapaian, penghargaan serta detik-detik istimewa Honda dalam dunia permotoran, diikuti Exhibition Lap oleh pelumba Honda Racing Malaysia, serta Stage Performance dan Lucky Draw yang menambah kemeriahan malam.

Honda Thanks Day 2025 berakhir dengan suasana penuh kepuasan dan kenangan bermakna buat semua yang terlibat. Penyertaan CRS Perak Official menerusi konvoi ini bukan sahaja mengukuhkan solidariti ahli, malah mempererat hubungan persahabatan dalam komuniti.

Perkongsian : Saudara Zam (Kelab Komuniti CREW RS150 Perak Official).