Cungkil Bakat Baru Dalam Sukan Motocross

Bertempat di Litar Motorcross Felda Trolak Selatan, Sungkai, Negeri Perak telah berlangsungnya program MyFit@Motorsport, Kelas Asas Mini MX (Motorcross) 2022 Peringkat Negeri Perak. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Trolak dan Pejabat Wilayah Trolak ini diadakan pada 12 Februari 2022 telah distruktur semula selaras dengan SOP Am Sektor Sukan dan Rekreasi.

Sebanyak tiga pakej program MyFit@Motorsport yang akan dilaksanakan di Perak yang bermula dari Februari sehingga Mac ini iaitu Kelas Asas Mini MX (daerah Muallim), Kursus Asas Pemanduan pacuan 4 roda (daerah Larut Matang & Selama) dan Klinik Pocketbike (Ipoh).

Daerah Muallim menjadi daerah pertama bagi program MyFit@Motorsport ini dengan penganjuran kelas asas mini MX ini. Penganjuran program ini merupakan kolaborasi strategik di antara agensi kerajaan, swasta, pusat khidmat DUN, dan NGO Sukan di dalam daerah Muallim. Antara agensi yang terlibat membantu adalah seperti Pusat Khidmat Masyarakat DUN Slim, Pejabat Felda Wilayah Trolak, pejabat felda trolak selatan dan Kelab sukan rekreasi Trolak.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mencungkil bakat baru dalam bidang sukan motorcross (mini MX) yang juga bertujuan untuk menyemai minat anak muda dalam sukan permotoran. Dalam masa yang sama, ia menjadi usaha yang tepat dalam menangani masalah dan gejala sosial serta membenteras aktiviti lumba haram.

Seramai 32 orang peserta mengikuti program ini yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dengan kehadiran ibubapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi covid19. Program ini memberi peluang kepada para peserta dilatih dan diberi tunjuk ajar oleh para jurulatih terlatih dan berpengalaman. Mereka juga diberi pendedahan tentang pengendalian jentera motorcross termasuklah teori, demonstrasi, penyelenggaraan motosikal serta undang-undang asas ketika berada di litar lumba.

Program telah dirasmikan oleh YB. Encik Mohd Zaidi bin Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim dan diiringi sama Ybrs. Encik Mohd Soufi bin Mohd Ibrahim. Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak. Turut hadir Pengurus Wilayah, felda Wilayah trolak, Ketua Penolong Pegawai Daerah Muallim dan Penolong Pegawai Daerah Batang Padang. Wakil KBS, En. Fadzil Hadri bin Mohd Nawawi turut hadir mewakili Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara, KBS.

Kelas Asas Mini MX yang bermula seawal jam 9 pagi ini tamat pada jam 1.00 petang. Kemudian program bersambung dengan penganjuran Trolak Track Day yang mempertandingkan sebanyak 4 kategori mini race dengan penyertaan seramai 80 orang pelumba. Program anjuran Kelab Sukan Rekreasi Trolak ini begitu meriah serta diadakan secara sederhana dengan kawalan pematuhan SOP PPN yang sedang berkuatkuasa.

Pihak KBS sentiasa cakna dengan permintaan dan minat anak muda terhadap sukan permotoran ini. Justeru lebih banyak program akar umbi dan Pembangunan sukan permotoran akan diadakan bagi menyemarakkan samangat di kalangan penggiat sukan permotoran serta memberi manfaat berguna kepada semua pemegang taruh di dalam industri sukan permotoran ini.

Perkongsian : En. Bob