Crew RS150 Perak Official & Honda Impian X Welly Team Cipta Kenangan Manis Bersama

Musim baharu siri perlumbaan motosikal Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 kembali lagi dengan pusingan pembukaan yang berlangsung pada April lalu. Pusingan pertama bagi musim ini telah diraikan penuh semangat dan bergaya oleh Crew RS150 Perak Official bersama Honda Impian X Welly dengan penganjuran konvoi ke Litar Antarabangsa Sepang sekali gus mencipta kenangan manis yang sukar dilupakan setiap peserta.

Seawal jam 9:00 pagi, para peserta konvoi mula berkumpul di Honda Impian X Welly Team PJ untuk sesi pendaftaran dan sedikit jamuan ringan sebelum memulakan perjalanan epik dengan penuh semangat. Boss Sam Welly memberikan taklimat ringkas mengenai perjalanan konvoi dan kepentingan keselamatan sepanjang perjalanan ke Litar Antarabangsa Sepang. . Tidak ketinggalan, sesi bergambar bersama pengurusan Honda Impian X Welly PJ turut diadakan sebagai kenangan manis sebelum perjalanan dimulakan.

Tepat jam 10:00 pagi, jentera mula dihidupkan dan peserta bersiap sedia untuk memulakan perjalanan. Bunyi deruman enjin memberi isyarat bermulanya tayar golek menuju ke destinasi. Perjalanan yang dipenuhi semangat kebersamaan akhirnya membawa para peserta tiba ke destinasi sekitar jam 11:00 pagi. Setibanya di litar, peserta berpeluang untuk bergambar di reruai Honda bersama wakil rasmi dari Honda Boon Siew Malaysia dan menjadi satu detik berharga bagi semua yang hadir, dapat merasai suasana penuh energi di pusat perlumbaan terkenal ini.

Lebih menarik lagi, pada jam 12:30 tengah hari, sesi Ride Bersama Honda di Litar Utara Sepang menjadi satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan. Kesempatan untuk menunggang motosikal di litar bertaraf antarabangsa ini memberikan kepuasan yang luar biasa kepada setiap peserta. Debaran semakin terasa sebaik sahaja sesi perlumbaan bermula. Pelbagai aksi menarik dipamerkan oleh para pelumba berbakat yang bersaing di trek. Semua mata tertumpu pada kepantasan dan strategi mereka dalam memburu kemenangan.

Sekitar jam 5:00 petang, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang berlangsung dengan meriah. Selain itu, cabutan bertuah Petronas turut diadakan, membawa kegembiraan kepada yang bertuah. Menjelang 5:30 petang, para peserta mula bersurai setelah sehari yang penuh aksi dan kenangan manis. Keseluruhan acara ini bukan sahaja memperkukuhkan ukhuwah antara peminat motosikal, tetapi juga membuktikan semangat komuniti dalam dunia permotoran yang terus berkembang.

Acara ini pasti akan dikenang dan diharapkan agar lebih banyak program konvoi seperti ini dianjurkan di masa akan datang. Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini khususnya Honda Impian X Welly Team dan Kelab Komuniti Crew RS150 Perak Official. Hingga bertemu lagi di pusingan seterusnya!