CoCo Pony 150F, Satu Lagi Cubaan Yang Bakal Gagal?

Satu perkara yang sesiapa juga akan setuju, Ducati sering diimitasi tetapi mustahil diganti. Motosikal Ducati merupakan antara motosikal yang paling mudah dikenali di dunia permotoran secara amnya. Jadi, tidak mengejutkan terlalu banyak percubaan dari pengeluar motorsikal yang ingin meniru dan kebanyakannya datang dari negara China. Malangnya, sehingga ke hari belum ada model yang mampu menggugat Ducati.

Sebelum ini, banyak motor keluaran China yang cuba meniru atau mempunyai penampilan seiras model keluaran Ducati termasuk Moxiao yang hampir sama seperti Panigale. Kali ini, sebuah lagi pengeluar motosikal dari China meniru sebuah lagi motosikal iaitu Ducati Scrambler. Bezanya? Ia jauh lebih kecil seperti sebuah motosikal mini.

Syarikat atau pengeluar yang dimaksudkan ialah Jialing dengan CoCo Pony 150F. Sekali imbas, jelas ia memang meniru motosikal retro hipster ini. Malah, mereka turut menggunakan logo Scrambler Ducati dengan “Scramber Jialing, dengan bangganya menggantikan perkataan asal. Malah, warnanya juga sama dengan tangki berwarna kuning, kerangka trellis berwarna merah, tempat duduk dengan uphostery berwarna perang yang diambil terus dari Ducati Scrambler.

Apa yang membezakannya hanya saiz Jialing Coco Pony 150F yang kecil seperti sebuah motosikal mini yang mungkin boleh lagi dimaafkan tidak seperti Moxiao. CoCo Pony ini dikuasakan oleh enjin 150cc — agak besar berbanding saiz motosikal itu sendiri yang agak kecil. Mungkin, ia seronok ditunggang. Selagi belum cuba, selagi itu tidak akan tahu. Setuju?

Scrambler Jialing ini diletakkan di atas rim skuter 14 inci dan menampilkan ciri-ciri yang agak menarik. Ia juga dilengkapi dengan ABS dua channel. Melihat saiz motor ini, mungkin ia sangat sesuai untuk digunakan hanya di kawasan bandar.

Sumber : Rideapart