Pelbagai segmen tunggangan dan citarasa disajikan para pengeluar motosikal yang bersaing bagi merebut hati peminat dunia permotoran. Dahulunya, minda peminat motosikal Malaysia dirasuk jenama-jenama motosikal keluaran dari Jepun. Selepas sedekad, kemasukan motosikal dari Eropah seperti Itali dan Jerman, perlahan-lahan mendapat tempat. Ini diikuti pengeluar motosikal dari Amerika yang menembusi pasaran tanah air dan pengeluar dari negara tembok besar pula berjaya menambat hati para pengedar motosikal tempatan. Saingan sengit dalam pasaran dunia permotoran di Malaysia memberikan peluang kepada peminat motosikal memilih dan menilai sebelum memiliki motosikal yang bukan sahaja diidamkan tetapi juga terbaik.
Chear Global Sdn Bhd merupakan pengedar tunggal CMC yang membawa masuk model Tekken 250 ini. Adakah motor-motor keluaran negara China ini diilhamkan dari watak-watak kartun? Ditambah pula dengan lampu hadapan berbentuk Transformer, ada spare cord tetapi masih dihidangkan dengan info sukatan bahan api pada digital meter. Apakah motif jurutera pereka motosikal dari negara ini? Teknologi usang diadunkan sebati dengan teknologi terkini, seperti yang dapat dilihat pada model Tekken 250. Ya, jurutera pengeluar motosikal dari China mempunyai idealogi tersendiri.
Rekabentuk tersendiri, Tekken 250 memenuhi citarasa terkini. Dua motosikal (On The road Sport Rim dan Of Road Spoke Rim) dibekalkan kepada Roadstar untuk ditunggang uji dan tempoh yang diberikan pula adalah selama dua minggu. Apakah keistimewaan motosikal Tekken? Sedikit perkongsian info, agar membantu peminat dunia permotoran yang masih tercari-cari versi motosikal Dual Fungsi. Motosikal yang berketinggian untuk orang Asia. Senang dikendalikan dalam pelbagai situasi, panel digital meter membekalkan informasi lengkap, pemasangan tempatan (CKD), harga relevan dan mampu milik, kemudahan alat ganti dan servis, penjimatan bahan api, penjimatan bateri. Anggun dengan gaya unik serta tersendiri dan didatangkan dalam empat warna pilihan. Ya, Tekken 250 ini adalah satu pilihan yang tepat.
Pemasangan model tempatan dengan kerjasama Syarikat Kumpulan Mofaz menawarkan harga yang cukup murah. Model dari China menggunakan enjin jenis RE 250, 4 lejang dan sistem penyejukan udara (Air Cooled). Tekken 250 merupakan satu dimensi baharu dari segi pengalaman dan keseronokan tunggangan. Hakikatnya terserlah ketika ujian dilakukan pada model yang menggunakan Sport Rim (Rim Tuang) ini yang melibatkan perjalanan sejauh 110km dalam pelbagai keadaan memberikan satu kepuasan. Adakah ia Motard? Ya, ianya jatuh pada kategori ini. Hasil ujian ketika memasuki selekoh tajam dan selekoh panjang cukup memuaskan. Penggunaan tayar bersaiz 140/70/17 pada rim belakang meninggalkan cengkaman yang cukup berkesan. Namun, Tekken 250 bukanlah pilihan yang ideal kepada mereka yang mementingkan pecutan serta kelajuan. Bagi mereka yang mahukan motor untuk kegunaan ulang-alik ke tempat kerja dan dalam masa yang sama, digunakan secara santai, Tekken 250 memenuhi ciri-ciri yang anda cari.
Rekabentuk Sporty dan Estetika, berbekalkan prestasi yang cukup mengkagumkan, Tekken 250 ini memikat sesiapa sahaja yang menunggangnya. Transmisi 6 kelajuan memberikan kuasa maksimum 16.5bhp pada 7.000rpm dan tork maksimum 17.0Nm pada 6.500rpm. Keanggunannya begitu terserlah, bermula dari depan hingga ke belakang. Lampu LED siap terpasang di kiri dan kanan sistem dan penyejuk udara menyerlahkan lagi keunikannya. Tekken 250 Spoke Rim (Rim Jejari) dipadankan dengan tayar bersaiz 110/90/17 di depan dan 130/80/17, membuktikan jentera ini memenuhi “All Terrain Challenge”, ujian yang agak mencabar di pelbagai permukaan off road.
Fokus, kemahiran, pengunaan gear yang tepat harus diambil kira. Saspensi depan dan MonoShock belakang Tekken 250 boleh dipuji. Sistem saspensi seperti ini diharapkan ketika berdepan pelbagai keadaan off road. Cengkaman brek hadapan dan belakang jentera keluaran CMC ini cukup hebat walaupun selepas mengharungi lopak air sedalam 2 kaki. Keberkesanan cengkaman yang dihasilkan sistem brek hadapan cakera tunggal, 2 pot caliper hidraulik dan cakera tunggal 1 pot caliper hidraulik di belakang. Sekiranya anda baru sahaja berjinak dengan off road, maka Tekken 250 adalah pilihan terbaik sebagai asas permulaan sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 30