Buktikan Semangat #WeStandTogether Terus Kukuh

Kembali menyatukan komuniti permotoran utara tanah air dengan membawa tema #WeStandTogether sebagai teras utama penganjuran. Program MEGA TTS 2.0 RS150R / RSX150 / Winner ini berlangsung pada 13 Disember 2025 di Lotus’s Stargate, Alor Setar, Kedah, dan direalisasikan oleh RSX Northern dengan kerjasama RSX RS Crew Taiping selaku pengasas Mega TTS, Himpunan Rider’s Smart Kedah Crew, Gabungan Permotoran Kelantan serta RSX Utara Malaysia.

Walaupun dikenali sebagai himpunan komuniti Honda RS150R, RSX150 dan Winner, MEGA TTS 2.0 dibuka secara inklusif kepada semua jenis motosikal tanpa mengira jenama atau model. Pendekatan ini selari dengan visi penganjur untuk menyatukan komuniti permotoran secara lebih terbuka dan menyeluruh.

Kira-kira 1,000 peserta hadir memeriahkan acara ini, melibatkan penunggang dari pelbagai negeri termasuk Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor serta Kedah sebagai tuan rumah. Kehadiran dari pelbagai pelusuk Semenanjung Malaysia ini mencerminkan daya tarikan dan pengaruh MEGA TTS dalam kalangan komuniti permotoran.

Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai kelab dan kumpulan permotoran yang hadir sebagai penyokong, antaranya ADV Perlis, Rider Santai Crew, RSX Northern Langkawi, RS Trico Kelantan, RSX Northern Feminine, RSX–RS Island Crew, Yeop Rider Crew, RS Kental Crew, Straight Wing #RS150R, RSX Negeri Sembilan, RSX Owner Club Kelantan, Doch Utaqa, Otai Pencen RS150R Club, RS RSX Hilir Perak serta RS-X150 Hulu Selangor. Kehadiran mereka menyerlahkan semangat solidariti yang menjadi nadi penganjuran MEGA TTS 2.0.

Keistimewaan MEGA TTS 2.0 turut terserlah menerusi penglibatan kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia. Kerjasama ini membawa kepada penganjuran Program Derma Darah, menjadikan acara ini bukan sahaja tertumpu kepada motosikal, malah memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Seawal jam 10.00 pagi, peserta mula mendaftar sebelum acara diteruskan dengan cabutan bertuah dan sesi autoshow. Pelbagai motosikal standard dan ubah suai dipamerkan, membuka ruang kepada peserta berkongsi idea, pengalaman serta tip teknikal dalam suasana santai dan mesra komuniti.

Pada jam 12.00 tengah hari, sesi taklimat penaja berlangsung dengan penyertaan EXN Lubricant selaku Penaja Utama bersama Tashimurai, Koyoko, Foxdry, MO2 Lubricants, Arisun, Tobaki, Onza, Ucan Helmet, Keith, Kuz Zair Motorsport, Jetour, Aces, IGL Coating, Honda Impian X-Boon Motor, HK Motor dan SMR Performance. Acara diteruskan dengan cabutan bertuah, penilaian autoshow, permainan komuniti seperti kerusi muzik, motosikal perlahan, tolak motosikal, makan biskut dan bergayut paling lama.

Kemuncak program berlangsung pada jam 4.00 petang menerusi cabutan bertuah sesi kedua dengan hadiah utama sebuah motosikal EV BOS2000 tajaan EXN Lubricant, sebelum acara ditutup pada jam 5.00 petang. Secara keseluruhan, MEGA TTS 2.0 membuktikan bahawa minat terhadap motosikal mampu menyatukan komuniti, mengeratkan hubungan sesama penunggang dan pada masa sama memberi impak sosial yang positif selaras dengan semangat #WeStandTogether.