Kehangatan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) menerusi penganjuran Pusingan 7. Saingan pusingan kali ini menyajikan drama penuh intensiti dan aksi berkelas tinggi dengan tumpuan utama terarah kepada kebangkitan luar biasa pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Md Irfan Haykhal Amidi yang merampas kemenangan dramatik dalam kategori CP150.
Memulakan saingan CP150, kelebihan awal memihak kepada pemegang petak utama dari kem yang sama, Md Helmi Azman hasil cemerlang sesi Super Pole (1’20.016s). Sebaik lampu pelepasan padam, Helmi pantas mendahului kelompok diekori rapat Md Muzakkir Mohamed (VOGE RACING TEAM) dan Ahmad Darwisy Ahmad Sahir (HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING). Kedudukan pendahulu bertukar tangan secara agresif di setiap pusingan, malah persaingan semakin membara apabila Md Haziq Md Fairues (IDEMITSU HONDA YAM RACING) serta trio PETRONAS SPRINTA YAMAHA melancarkan asakan bertali arus.
Keadaan litar bertambah panas menjelang pusingan kesepuluh apabila Md Akid Aziz (VOGE RACING TEAM) dan Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR) mula memerah kelajuan maksimum. Memasuki pusingan penentuan yang penuh saspen, Asyraff Zaquan Zainal Raif mendahului saingan sebelum Muzakkir dan Haziq bertarung sengit bersebelahan di laluan lurus menuju garisan penamat.
Satu detik mengejutkan berlaku apabila Irfan Haykhal yang mengejar dari belakang bertindak bijak memanfaatkan strategi slipstream untuk memintas Muzakkir dan Haziq serentak di saat-saat akhir. Irfan mengesahkan kejuaraan keduanya musim ini dengan masa 14’44.765s, memintas tipis Haziq di tempat kedua (14’44.795s) dan Muzakkir di tempat ketiga (14’44.797s). Kejayaan tempat ketiga itu membawa makna yang cukup besar buat Muzakkir serta kem Voge Racing Team apabila diraikan penuh emosi selepas akhirnya berjaya meraih podium sulung dalam musim kedua penyertaan mereka di Cub Prix!
Beralih ke saingan kelas CP125, IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM mencuri tumpuan menerusi kejayaan dominan 1-2 hasil kebangkitan luar biasa Md Khairi Asyraf Mahmood bersama rakan sepasukannya, Raiyan Khardanee M Sanusi. Raiyan bermula cemerlang di petak utama hasil catatan 1’20.666s pada sesi Shoot Out, namun sebaik lampu pelepasan padam, jentera ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM menerusi Md Idlan Haqimi Raduan dan Md Akif Abdullah bertindak agresif meluru ke hadapan untuk memimpin saingan.
Digerakkan oleh litar Sepang yang dinamik, kedudukan pendahulu kerap bertukar tangan secara drastik di setiap pusingan hasil asakan hebat kelompok hadapan. Raiyan yang sempat tercicir ke kedudukan kelima pamer kelincahan merampas semula tampuk pimpinan pada pusingan keenam, manakala Khairi yang bermula dari kelompok belakang cemerlang menyusun strategi untuk memanjat kedudukan sehingga berada di sisi rakan sepasukannya menjelang dua pusingan terakhir.
Memasuki pusingan penentuan, gandingan YY Pang ini berjaya membuka jurang 0.354s daripada kelompok mengejar. Di selekoh terakhir yang cukup kritikal, Khairi bijak menghidu kesilapan Raiyan untuk melancarkan pintasan ke garisan penamat dengan catatan masa 11’07.559s, menewaskan Raiyan di tempat kedua (11’07.614s). Tempat ketiga disambar oleh Adib Hareez Hazwat dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING (11’08.125s) yang meraikan kedudukan podium pertamanya.
Kategori WIRA pula menyaksikan penguasaan pentas podium oleh kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING menerusi kejayaan Ahmad Malek Ridha dan Nuzzul Ady Muhammad Sudin. Biarpun diuji kekecewaan awal apabila pemegang petak utama, Raja Abdurraqib terpaksa menarik diri akibat masalah teknikal jentera selepas pusingan pemanas badan, cabaran pasukan diteruskan dengan cemerlang oleh Ady yang bertindak meluru ke hadapan sebaik saingan bermula.
Perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca panas itu menyaksikan intensiti tinggi tatkala kedudukan di kelompok hadapan kerap bertukar tangan. Menjelang pusingan keempat, pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING, Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki mula mencetuskan ancaman serius untuk memintas, namun trio Ady, Malek dan Al-Syafiq mempamerkan persaingan cukup sengit sehingga berjaya melebarkan jurang 1.541s daripada kelompok mengejar pada pusingan kelima.
Memasuki pusingan terakhir, Ady dan Malek mempamerkan kerjasama berpasukan yang cukup matang apabila secara strategik menutup ruang percubaan Al-Syafiq untuk melancarkan pintasan akhir. Taktikal tersebut membuahkan hasil apabila Malek muncul juara dengan masa 9’49.879s, hanya berbeza 0.002 saat di hadapan Ady di tempat kedua (9’49.881s). Manakala Al-Syafiq akur di tempat ketiga (9’49.899s). Penganjuran Pusingan 7 di Sepang ini jelas membuktikan bahawa kematangan strategi dan semangat juang tinggi kekal menjadi kunci utama kejayaan dalam saingan Cub Prix musim ini.
1. Md Irfan Haykhal Amidi – TAB Sports SCK Honda Racing (14’44.765s)
2. Md Haziq Md Fairues – Idemitsu Honda YAM Racing (14’44.795s)
3. Md Muzakkir Mohamed – VOGE Racing Team (14’44.797s)
Top 3 Terpantas – CP125
1. Md Khairi Asyraf Mahmood – IPone Yamaha YY Pang Racing Team (11’07.559s)
2. Raiyan Khardanee M Sanusi – Ipone Yamaha YY Pang Racing Team (11’07.614s)
3. Adib Hareez Hazwat – TAB Sports SCK Honda Racing (11’08.125s)
Top 3 Terpantas – WIRA
1. Ahmad Malek Ridha – Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing (9’49.879s)
2. Nuzzul Ady Muhammad Sudin – Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing (9’49.881s)
3. Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki – IGOL Brothers 7 Tech Racing (9’49.899s)