Berupaya Memecut Sehingga 100km/j, Nex Tetap Stabil

Tsunami motosikal kategori skuter di Malaysia mula tercetus selepas Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Malaysia) memperkenalkan model skuter pertamanya iaitu V100 kira-kira 20 tahun lalu. Harus tahu bahawa pengeluar motosikal dari Jepun itu adalah antara pelopor pertama yang memperkenalkan motosikal kategori skuter di negara ini. Antara keunikan skuter adalah jentera tersebut menggunakan transmisi automatik, sesuatu yang baru untuk pengguna pada ketika itu.

Selepas pelancaran enam model untuk kategori skuter dalam tempoh 20 tahun, Suzuki Malaysia dilihat terus mengembangkan portfolio produknya menerusi Suzuki Nex. Tampil dengan rekaan yang semakin ranggi, Suzuki Nex mampu memenuhi keperluan penunggang yang gemarkan karakter sebuah skuter yang mudah dikendalikan. Selain tidak perlu menukar gear untuk memecut atau berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Skuter juga lebih selesa untuk ditunggang di bandar, terutama di celah-celah kereta yang tersusun akibat kesesakan lalu lintas. Mereka yang memiliki jentera ini pasti akan tersenyum lebar kerana ia mampu memberi pengalaman tunggangan yang menyeronokkan. Sama ada untuk kegunaan harian atau berulang-alik ke pejabat.

Sebaik saja enjin dihidupkan menggunakan butang yang berada di sebelah kanan hendal, Suzuki Nex tidak menunggu lama untuk meluncur laju dan lancar selepas pendikitnya dipulas. Bagi perjalanan yang jaraknya kurang 30 kilometer, skuter ini boleh dinobatkan sebagai juara kerana ia cukup senang dikendalikan. Selain tidak penat atau membosankan.

Menyentuh tentang prestasi, sila jangan pandang Suzuki Nex sebelah mata. Percaya atau tidak, skuter kecil ini berupaya memecut sehingga 100 kilometer sejam (km/j) tanpa sebarang masalah. Malah, ia juga masih stabil pada kelajuan tersebut. Jadi, angka itu mungkin boleh membuang tanggapan negatif segelintir pengguna terhadap motosikal kategori skuter.

Enjin empat lejang enjin bersesaran 113cc yang ada pada Suzuki Nex mampu menghamburkan kuasa sehingga 9.4hp. Enjin itu dipadankan bersama transmisi boleh ubah berterusan (CVT). Suzuki Nex nyata mudah dikawal serta stabil di selekoh kerana ia dipasang dengan saiz roda lebih besar iaitu 14” pada bahagian depan serta belakang.

Roda yang sedikit besar ini pastinya menambahkan ciri keselamatan pada jentera ini sekiranya melalui jalan rosak dengan dipenuhi lubang-lubang berbahaya. Bahagian belakang motosikal ini turut dikecilkan supaya tidak tersangkut, manakala peredam bunyinya tersorok ke dalam. Peredam bunyi mempunyai kemasan bergaya yang mempertingkatkan lagi penampilan motosikal ini.

Sistem suspensinya terdiri daripada jenis teleskopik untuk roda hadapan dan lengan buai bagi roda belakang. Padanan suspensi itu bagaimanapun terasa sedikit keras serta kurang selesa ketika melanggar lubang dan bonggol di jalan raya. Brek cakera (roda hadapan) dan brek gelendong memberi cengkaman yang baik walaupun ketika berdepan dengan situasi cemas atau jalan raya dibasahi hujan.

Bagi memudahkan penungang untuk mengetahui mengenai maklumat tunggangan, sebuah panel meter (speedometer) yang ringkas disediakan. Ia berfungsi memberi maklumat berkaitan isyarat membelok, takat minyak serta kelajuan. Kehebatan Suzuki Nex juga terserlah ketika menyusuri laluan di bandar kerana bentuknya yang kecil mudah ditunggang di laluan sempit dan di celah-celah kenderaan.

Kedudukan tempat duduk yang agak rendah pasti memudahkan penunggangnya, terutama kaum hawa untuk menunggangnya. Struktur hendalnya juga memberi pengendalian terbaik dan mantap. Warna merah jambu yang dilayangkan ke atas tubuh Suzuki Nex nampak feminin dan sangat sesuai kepada golongan wanita yang mementingkan gaya. Reka bentuknya juga menarik terutama di bahagian penghadang angin hadapan yang bergaya serta dilengkapi simbol Suzuki.

Tempat letak kaki yang terlindung boleh mengelak kasut daripada basah akibat percikan air di jalanan. Reka bentuk aerodinamik dengan padanan lampu depan serta belakang lebih besar menjadikan Suzuki Nex selamat. Jalur grafik badan yang baru pula kelihatan garang.


Suzuki Nex
Spesifikasi
Enjin : empat lejang bersesaran 113cc dengan sistem penyejukan udara
Kuasa maksimum : 9.4hp
Transmisi : CVT
Tangki Petrol : 3.5 liter
Panjang : 1.85 meter
Tinggi : 1.035 meter
Berat : 87 kilogram
Harga : Bermula RM4,218

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 1