Motoburuk Garage yang merupakan sebuah bengkel baik pulih Vespa Lambretta dan beroperasi di Bukit Tengah Pulau Pinang telah menganjurkan MBG 5th Annual Vespa Lambretta 2022 baru-baru ini. Diusahakan oleh penganjurnya, Mohamad Aidzam Saffuan Bin Alias, program ini diadakan buat kali kelima dan telah berlangsung selama tiga hari.
Bermula dari 28 Oktober sehingga 30 Oktober lalu, ia diadakan buat kali pertama di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Hampir 5000 buah unit Vespa Lambretta telah hadir. Manakala para peserta yang hadir pula terdiri dari kelab-kelab Vespa Lambretta seluruh Malaysia. Ada juga yang datang dari Thailand, Singapura dan juga Indonesia.
Bagi memeriahkan lagi penganjuran selama tiga hari program ini diadakan, pelbagai aktiviti turut disediakan. Antaranya seperti jualan alat ganti terpakai, jualan Hot Wheels, jualan pakaian Vintage, konsert band, Dyno Test serta pertandingan motosikal tercantik, Best Dance dan Best Dress Up.
Menepati tema penganjuran MBG Vespa Lambretta Jamboree pada tahun ini iaitu Mods N Rockes yang menggabungkan motosikal Vespa dan juga motosikal Cafe Racer. Semoga program ini terus diadakan dan memeriahkan lagi persada dunia permotoran dua roda tanah air.