Tentunya pembaca merasa pelik atau tertanya-tanya dengan tajuk artikel ini. “Bergaya, Santai dan Antik” merupakan singkatan yang saya sendiri transformasikan dari jenama sebuah motosikal yang cukup terkenal dengan keantikkannya. Apakah jenama motosikal tersebut?
B.S.A merupakan satu jenama yang dibangunkan sejak berkurun lalu dan beberapa generasi telah memilikinya. Jentera dua roda yang memberikan perkhidmatan terbaik sewaktu zaman perang dunia ke 2 ini tidak pernah pupus meskipun zaman telah berubah. Peminatnya di merata dunia termasuklah di Malaysia sendiri. Jentera yang dahulunya jarang kelihatan di atas jalanraya Malaysia kini bukan lagi satu jenama asing, malah ia mempunyai grup tersendiri yang disertai pelbagai model. Kelibat motosikal BSA sememangnya mengelirukan kerana model-model BSA seakan sama dengan model motosikal Triumph. Kedua-dua jenama tersebut memenuhi citarasa peminat motor klasik.
Kami terpegun apabila diperkenalkan dengan motosikal ini. Persoalan mungkin timbul kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Selama ini kita hanya mendengar dan melihat motosikal BSA semuanya berbentuk klasik. Di bahagian penutup enjin tertera perkataan BSA yang mana tanpanya, pelbagai telahan dibuat tentang jenama motor ini. Riezarl, adalah pemilik kepada motosikal BSA yang unik ini. Pernah memiliki Yamaha Virago 535, peminat Easy Rider yang tegar ini merupakan seorang usahawan. Menetap di Bukit Idaman dan sudah pun berumahtangga, Riezarl menyertai kelab Regim Ryder dan mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun di persada dunia permotoran.
Berkongsi cerita tentang motor BSA custom miliknya, beliau masih mengekalkan enjin yang asal. Pemilihan bodykit Classic Horn untuk motosikal ini tidak dinafikan memukau dan merupakan daya penarik. Lampu depan jenis Fort Lamp telah dipasang pada sebelah kanan handle bar dan swing arm yang dimodifikasi. Pemilihan warna keemasan telah menyerlahkan lagi frame body motor tersebut. Sungguh kreatif dari modifikasi body hinggalah penyesuaian warna betul-betul menampakkan kelainan. Tangki dan mudguard belakang yang di dikenakan teknik airbrush berlatarbelakangkan warna putih mutiara mencerminkan kehalusan jiwa pemiliknya yang berjiwa seni.
Rim depan dan belakang adalah dari jenis Stainless Steel. Sementara tayar dipasang jenama Metzeler, dimana saiz untuk tayar depan adalah 90/90-21 dan belakang ME 880 Marathon. Sistem brek depan dan belakang menggunakan single disc. Ekzos dipasang jenis stainless steel dan tersembunyi di bawah pemijak kaki sebelah kanan serta ianya berbeza dengan easy rider atau chopper yang lain di mana kebiasaannya menggunakkan sistem ekzos yang panjang dan berjenama. Beliau telah menghabiskan sebanyak RM10k untuk menghasilkan sebuah BSA yang unik dan klasik. Sememangnya motosikal tersebut cukup bergaya kepada sesiapa yang memilikinya, menunggang secara santai memberikan satu kepuasan kepada mereka yang mengimpikan ketenangan. Paling menakjubkan keantikkannya sinonim dengan jenama dan bentuk.