Sejak sedekad lalu, kedai kustom motosikal yang dikenali sebagai Bandit9 telah membina beberapa motosikal hasil kerja-tangan yang unik dengan rekaan ala-ala futuristik. Tidak melampau kalau dikatakan, sukar untuk menandingi hasil Bandit9 yang berpengkalan di Vietnam ini!
Terbaharu, Supermarine yang seolah-olah terbang mendarat dari angkasa ke planet bumi. Pasukan jurutera aerospace Bandit9 yang baharu telah berusaha menghimpunkan sebanyak 400 komponen yang dipotong dengan ukuran yang tepat menggunakan teknologi terkini.
Direka sebagai sebuah jentera paling laku, Supermarin ini mengangkat inspirasi dari lautan. Bahagian fairing dicipta mengikut badan Mobula Ray yang diratakan, membolehkan motosikal tersebut membelah angin dengan mudah. Kerangkanya pula diilhamkan dari plastik ABS spesifikasi perlumbaan sekaligus meningkatkan pengaliran udara.
Kerangka dengan bentuk organik ini juga agak tahan lama dan ia telah dihasilkan dari 7075 aluminium yang biasa digunakan dalam peluru berpandu dan juga peralatan pertahanan yang lain. Manakala badannya pula dibuat dari plastik ABS dengan spesifikasi perlumbaan. Penunggang mempunyai pilihan untuk memilih badan carbon-fiber untuk Supermarine ini.
Bersandarkan kuasa yang dikehendaki, jentera ini boleh didapati dalam dua enjin parallel-twin klasik, bersesaran 900cc yang mampu menghasilkan 74hp, tork 59 Nm (lb-ft) dan kelajuan tertinggi 120 mph (193 kph). Atau lebih berkuasa lagi dengan enjin bersesaran 1200cc, menghasilkan 103 hp dan tork 83 Nm (lb-ft) dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 130 mph (209 kph).
Jentera ini dilengkapi dengan transmisi standard 5-kelajuan. Bagaimanapun, pasti ramai penunggang yang memilih untuk meningkatkan kotak gear ini menjadi 6-kelajuan. Supermarine ini turut dilengkapi dengan suspensi Nitron dan brek standard Brembo. Namun, Bandit9 menawarkan suspender Ohlins dan brek Berginer kepada para pelanggannya.
Motosikal futuristik ini dibuka untuk tempahan dan dijangka menyerahkannya kepada pelanggan bermula Disember ini.
Sumber : Rideapart