Bakal Dilancarkan Kawasaki, Ditawarkan Dalam Dua Ton Warna Yang Lebih Bergaya

Motosikal keluaran Kawasaki memang mempunyai nilai dan prestasi yang tinggi di pasaran. Rekaannya pula cukup bergaya dan tidak melampau kalau dikatakan, istimewa khususnya di kalangan para peminatnya seperti motosikal Z900RS ini.

Kebanyakan pemiliknya menganggap, Z900RS merupakan motosikal yang mempunyai satu tingkat lebih tinggi berbanding kesemua motor neo-retro dan cafe racer untuk era moden ini. Z900RS mempunyai nilai yang sangat dekat dengan peminat motosikal terutama dari rangka ianya dibina, bentuk badannya dan juga kluster instrumen analognya.

Dalam erti kata yang lain, Z900RS menawarkan gaya yang tidak lapuk dek zaman dan dalam masa sama, memberikan prestasi moden yang terbaik. Begitu juga dengan Z900RS yang telah dikemaskini untuk tahun 2022 ini. Ditawarkan dalam dua ton warna yang boleh dikatakan cukup menarik dan cantik dipandang.

Bagi model tahun 2022, Kawasaki bakal memperkenalkan pilihan dua ton-warna dan satu warna solid untuk Z900RS. Model pertama iaitu dua ton-warna ini telah didedahkan sebelum ini dan ianya dalam warna Blue/Gold (Biru/Emas). Manakala model yang satu lagi juga tidak kurang hebatnya dengan warna Hijau/Putih. Akhir sekali, kepada sesiapa yang lebih suka warna yang solid boleh memilih warna semua hitam yang menampilkan jalur biru di bahagian sisi dan juga tangki bahan api.

Selain itu, Z900RS mengekalkan spesifikasi teknikal termasuk enjin inline 4-silinder 948cc yang menghasilkan 111hp. Manakala berat Z900RS adalah 215 kg yang didatangkan dengan beberapa ciri bantuan asas termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC) dan ABS dua channel sebagai standard.

Sumber : RideApart