Bakal Dihantar Bermula Disember Ini

Pengeluar skuter Italjet dari Itali pernah memukau dunia dengan skuter yang sepatutnya dikenali sebagai Dragster 2020. Skuter dengan penampilan yang garang ini antara skuter paling estetik di dunia. Malangnya, pandemik yang melanda membuatkan ia seakan terhenti. Seperti mana-mana pengeluar lain, Italjet turut terkena tempiasnya.

Perlahan-lahan dunia kembali pulih dari cengkaman pandemik, Italjet mengambil peluang ini mempamerkan Dragster yang direka khusus untuk model tahun 2022 di EICMA. Berita baiknya, Italjet berjanji untuk mula membuat penghantaran pada Disember ini.

Sebagaimana yang dapat dilihat, Dragster ini turut mengekalkan kejayaan skuter 2 lejang ikonik dari Italjet. Skuter ini yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1990an berjaya mencuri hati terutamanya anak-anak remaja yang ligat menunggang kenderaan dua roda sekitar kota. Kini, mereka sudah dewasa dan mempunyai duit sendiri untuk membeli Dragster ini yang didatangkan dengan kuasa yang lebih lagi.

Bagi makluman, Dragster ini ditawarkan dalam dua trim – 125cc dan 200cc. Varian kecil 125cc menghasilkan kuasa 13 hp, dengan penyejuk cecair serta mematuhi piawaian Euro 5 dengan enjin silinder tunggal. Manakala varian 200cc menghasilkan sehingga 18 hp. Dragster 2022 tampil lebih ranggi dengan kelengkapan dari Akrapovič, Malossi, Brembo dan Öhlins.

Bagi makluman, Dragster ini ditawarkan dalam 3 pilihan warna; merah, kuning dan hitam. Harga dijangkakan bermula dari $6,170 (RM26,166) untuk versi 125cc dan $6,506 (RM27,593) untuk versi 200cc.

Sumber : Rideapart / moto-station