Bakal Dedah Model Baharu & Cubaan Pecah Rekod Di Litar Sepang

Lambretta Malaysia, pengedar rasmi jenama skuter Itali ikonik di rantau ini, telah mengumumkan resolusi bagi 2026. Bagi mengukuhkan usaha mereka, satu acara media Lambretta Media Chillax Day (himpunan warga media) diadakan di sebuah pusat perkhemahan Ulu Yam yang berlangsung baru-baru ini.

Kemuncak resolusi Lambretta 2026 adalah percubaan rasmi mereka untuk memecah rekod sebagai Largest Brand – Organised Scooter Member di ASEAN dan juga Asia di Litar Antarabangsa Sepang pada 11 Januari 2026 ini.

Acara itu akan menghimpunkan 500 pemilik skuter Lambretta dengan kemuncaknya adalah pemilik skuter Lambretta akan berkonvoi mengelilingi litar ikonik sambil menikmati pengalaman menunggang di atas trek kebanggaan negara.

Ia merupakan sebahagian dari acara Casa Lambretta dan Pelancaran Lambrettista Mega Gathering, selain acara itu bakal menghimpunkan ratusan pemilik Lambretta sekali gus menjadikan ia satu rekod bersejarah di Asia dan Asean.

“Acara ini lebih daripada percubaan rekod. Ia adalah perayaan semangat komuniti kami dan legasi Lambretta yang berkekalan,” ulas Ronnie Chen, Pengarah Urusan Bike Continent pada majlis suai kenal bersama media di pusat rekreasi Ulu Yam baru-baru ini.

Pada majlis Lambretta Media Chillax Day yang berlangsung di Dusun Bonda, Ulu Yam, wakil media turut diberi kesempatan menguji dua model iaitu Lambretta 250 X Series dan Thunder Custom lebih awal.

Sesi makan durian (Musang King dan Black Thorn), aktiviti permainan dan sudah tentu makan malam yang disajikan antaranya kambing golek dan nasi dengan ayam/ikan bakar beserta kopi panas menghangatkan suasana majlis Lambretta Media Chillax Day.

Bagi peminat dua roda yang ingin menyertai himpunan Lambretta Mega Gathering hujung minggu ini, pendaftaran dibuka sekarang melalui Ticket2u, dengan tempat terhad tersedia untuk penunggang dengan melayari laman sesawang www.lambrettascooters.com/my atau ikuti @LambrettaMalaysia di media sosial.