Bakal Bergema Di Putatan, Sabah

Baru-baru ini, Aveta Malaysia mengumumkan penganjuran julung-julung kalinya Karnival Aveta Borneo 2024. Dijadualkan berlangsung pada 25 Februari 2024 di Golden Centre Putatan, Kota Kinabalu, Sabah, Karnival Aveta Borneo ini diadakan bertujuan untuk menyajikan acara yang cemerlang dan memperkenalkan yang terbaik dari Aveta.

Pelbagai aktiviti disediakan seperti sesi test ride, permainan seperti pertandingan tunggang motosikal perlahan, pertandingan dorong motosikal, dan pertandingan teka kunci. Bukan itu sahaja, konvoi motosikal Aveta juga akan diadakan sementara pertandingan Custom Bike Show berlangsung. Pertandingan khas ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Aveta Ranger 110 Kustom Terbaik dan Motosikal Aveta Kustom Terbaik

Terdapat juga acara cabutan bertuah di mana pemenang bertuah berpeluang membawa pulang merchandise Aveta yang menarik. Dijangka bermula seawal pukul 8.00 pagi, segmen hiburan turut diselitkan. Antara yang bakal membuat persembahan ialah kumpulan muzik tempatan iaitu SawadeeKrapp Street Jam.

Bukan itu sahaja, Karnival Aveta Borneo juga akan menawarkan makanan dan minuman kerana penjual tempatan akan diberi peluang untuk membuka gerai di tapak karnival. Terdapat juga peniaga yang menjual aksesori motosikal unik untuk memuaskan semua citarasa.

Promosi istimewa untuk Aveta Ranger Max Explorer juga akan ditawarkan di mana sesiapa yang membeli Ranger Max Explorer baharu akan membawa pulang Baju Grafik, Keychain Aveta, beg Dry Fit serta beg Kanvas. Selain itu, pembelian itu juga akan memberikan mereka peluang untuk memasuki cabutan bertuah istimewa di mana lebih banyak hadiah unik menanti mereka.

Berhubung dengan Karnival Aveta Borneo yang pertama, Pengarah Urusan Kumpulan, Steven Lim berkata, “Setiap kali kami memuat naik sesuatu tentang Motosikal Aveta di media sosial, pasti akan ada seseorang yang bertanya jika Motosikal Aveta tersedia di Sabah. Kami telah mendengar mereka dan memperhatikan permintaan mereka.”

“Saya dengan bangga dapat berkata bahawa kami mendengar permintaan pelanggan kami dan sentiasa berusaha untuk memberikan apa yang mereka mahukan. Karnival Aveta Borneo hanyalah aktiviti pertama yang kami rancang untuk penyokong kami di Sabah, akan ada banyak lagi aktiviti yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.”