Azlan Masih Berbisa, Hafizh Syahrin Turut Menyerlah

Berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, para peminat perlumbaan Kejohanan Motosikal Asia (IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship – ARRC) berpeluang menyaksikan pusingan pembukaan untuk musim 2024 ini. Pelbagai aksi mencemaskan dan mendebarkan dilihat sepanjang berlangsungnya kejohanan ini. Tidak kurang juga, pencapaian luar biasa yang dicatatkan para pelumba khususnya dalam kategori Superbike 1000cc.

Pada pusingan pertama, Race 1 untuk kategori ini telah menyaksikan prestasi cemerlang Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR BMW Racing Team yang seterusnya bergelar juara. Ternyata, pengalaman serta kemahiran Azlan membuktikan bahawa beliau masih lagi berbisa dan memberikan saingan sengit kepada para pelumba lain.

Azlan bermula dari posisi kelima pada grid dengan masa lap terpantasnya pada 1’34:978s di belakang Nakarin Atiratphuvapat dan Andi Farid Izdihar dari Honda Asia-Dream Racing with Astemo. Masing-masing dengan catatan masa 1’34:287s dan 1’34:603s. Manakala seorang lagi pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin dari JDT RACING TEAM di tempat ketiga pada grid dengan masa 1’34:733s.

Namun, Azlan mengejutkan perlumbaan apabila berjaya memintas Nakirin dan Yuki untuk merampas kedudukan kedua ketika pusingan kesembilan serta menyasarkan kedudukan Andi yang berada di hadapan. Usaha berterusan Azlan untuk merapatkan jurang, akhirnya berhasil setelah berjaya memintas Andi di selekoh terakhir dan memecut ke garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 20’50:147s.

Andi Bangkit!

Rakaman saat-saat manis di perlumbaan Race 2 kategori Asia Superbike 1000cc untuk pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar yang mewakili pasukan Honda Asia-Dream with Astemo setelah berjaya meraih tempat teratas di podium. Beliau berjaya menumpaskan pesaing terdekat, Hafizh Syahrin yang berentap menerusi tiket JDT RACING TEAM.

Perlumbaan dimulakan dengan Nakarin Atiratphuvat dari Honda Asia-Dream Racing with Astemo yang mendahului di barisan hadapan. Diikuti rapat oleh pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin, Andi dan juga Yuki Kunii dari SDG Team HARC-PRO Honda Ph. Selepas beberapa pusingan, Hafizh berjaya memecut ke hadapan dan di belakangnya pula diikuti rapat oleh Yuki dan Andi. Hafizh mengekalkan kedudukan di peringkat awal perlumbaan walaupun menerima saingan sengit.

Dominasi Hafizh akhirnya berjaya diruntuhkan apabila Andi lolos dan mendahului perlumbaan. Hafizh yang enggan mengalah, memberikan asakan demi asakan diikuti Nakarin di belakang. Namun, Andi berjaya mengekalkan kedudukan sehingga ke menamatkan perlumbaan di garis penamat dengan catatan masa 20’49:192s. Di tempat kedua pula milik Hafiz Syahrin dengan catatan masa 20;49:963s. Manakala di tempat ketiga, Nakarin Atiratphuvapat dengan catatan masa 20’50:001s.

ASB1000cc
Top 3 Terpantas – Race 1

1. Azlan Shah Kamaruzaman (TKKR BMW Racing Team) – 20’50:147s
2. Andi Farid Izdihar (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) – 20’50:541s
3. Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) – 20’53:491s

Top 3 Terpantas – Race 2
1. Andi Farid Izdihar (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) – 20’49:192s
2. Hafizh Syahrin Abdullah (JDT RACING TEAM) – 20’49:963s
3. Nakarin Atiratphuvapat (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) – 20’50:001s

Helmi Beri Saingan, Apiwath Tetap Cemerlang

Apiwath Wongthananon dari YAMAHA TEKHNE Racing Team ASIA muncul sebagai pemenang dalam Race 1 kategori Asia Superbike 600cc. Walaupun bermula dari tempat ketiga di grid selepas sesi kelayakan, Apiwath mencatatkan masa litar terpantas pada 1:38.734s di belakang pasangan duo Muhammad Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar dari IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team. Masing-masing mencatatkan masa litar terpantas pada 1:38.600s dan 1:38.606s.

Sebaik sahaja perlumbaan bermula, Apiwath pantas mendahului dengan meninggalkan Helmi dan Azroy di belakang. Walaupun terdapat pertukaran kedudukan yang mengujakan, Apiwath berjaya mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat dengan masa keseluruhan 20’00:231s. Muhammad Helmi Azman terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 20’02:752s, diikuti oleh Mohammad Adenanta Putra di tempat ketiga dengan masa 20’03:385s.

Kemenangan Berganda Apiwath

Pada Race 2, perlumbaan berlangsung dengan lancar dan menyaksikan Apiwath Wongthananon sekali lagi menguasai podium di tempat pertama. Pelumba dari YAMAHA TEKHNE ASIA ini mendahului sejak awal perlumbaan. Diikuti Muhammad Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan IDEMITSU Boon Siew Honda, bersaing untuk mendapatkan tempat dalam tiga teratas.

Apiwath mengekalkan kedudukannya, namun pasangan duo Helmi dan Azroy mengalami kemalangan di pusingan keempat yang memaksa bendera merah dikibarkan. Setelah diberhentikan seketika, perlumbaan diteruskan dengan lima pusingan. Apiwath menerima tekanan dari Adenanta Putra, manakala Veda Ega Pratama bersaing sengit untuk merampas kedudukan ketiga dari Mckinley Kyle Paz.

Pada pusingan yang terakhir, Apiwath berjaya meraih kemenangan bergandanya dengan catatan masa 8’21:918s. Manakala rakan sepasukannya, Kyle meningkatkan kelajuan sejurus selepas selekoh terakhir sekali gus meraih kedudukan ketiga dengan catatan masa 8’23:894. Mohammad Adenanta Putra menduduki tempat kedua dengan menamatkan perlumbaan pada 8’22:053s.

SS600cc
Top 3 Terpantas – Race 1

1. Apiwath Wongthananon (YAMAHA TEKHNE Racing Team ASIA) – 20’00:231s
2. Muhammad Helmi Azman (IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team) – 20’02:752s
3. Mohammad Adenanta Putra (ASTRA HONDA RACING TEAM) – 20’03:385s

Top 3 Terpantas – Race 2

1. Apiwath Wongthananon (YAMAHA TEKHNE Racing Team ASIA) – 8’21:918s
2. Mohammad Adenanta Putra (ASTRA HONDA RACING TEAM) – 8’22:053s
3. Mckinley Kyle Paz (YAMAHA TEKHNE Racing Team ASIA) – 8’23:894s