Kemasukan Peugeot Motocycles ke Malaysia akhirnya disahkan apabila Aveta International mengumumkan kerjasama strategik bersama jenama Perancis itu pada 5 Disember 2025. Langkah ini menjadi detik penting dalam segmen dua roda tempatan, menandakan permulaan era mobiliti premium yang lebih meluas di Malaysia.
Dengan sejarah yang bermula sejak 1898, Peugeot Motocycles membawa legasi kejuruteraan dan reka bentuk Eropah yang cukup sinonim dengan falsafah ‘Allure’ gabungan gaya, inovasi dan pengalaman tunggangan moden. Jenama ini kini beroperasi di lebih 3,000 lokasi jualan di seluruh dunia, termasuk model seperti Peugeot Metropolis, XP400, Pulsion serta siri Django dan Speedfight yang dihasilkan mengikut standard global.
Di Malaysia, Aveta International menjadi entiti yang bertanggungjawab membawa Peugeot Motocycles ke pasaran tempatan. Pemilihan Aveta dibuat berdasarkan rangkaian pengedar yang kukuh, kepakaran teknikal, serta rekod prestasi dalam menyokong jenama antarabangsa. Antara kekuatan Aveta ialah ekosistem selepas jualan, inisiatif ‘Aveta Care on Wheels’ serta pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records yang mengukuhkan kredibilitinya.
Menurut Peugeot Motocycles, Malaysia merupakan pasaran penting dalam strategi pengembangan Asia. Kerjasama ini dipacu nilai profesionalisme, pemahaman pasaran tempatan dan keupayaan Aveta mengurus jenama premium secara menyeluruh. Fokusnya adalah menyediakan pengalaman pemilikan bertaraf global daripada jualan hingga servis selepas jualan.
Peugeot Motocycles akan menawarkan pengalaman premium yang disesuaikan dengan keperluan pengguna Malaysia, merangkumi reka bentuk Perancis, kejuruteraan moden dan rangkaian servis Aveta di seluruh negara. Pelancaran rasmi pertama dijangka berlangsung pada suku pertama 2026, dengan model-model terpilih bakal diperkenalkan kepada media dan pelanggan.
Kerjasama antara Peugeot Motocycles dan Aveta International membuka lembaran baru dalam pasaran dua roda Malaysia. Ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Aveta dalam industri, tetapi turut memberi pilihan premium yang lebih meluas kepada penunggang tempatan yang mahukan gaya Eropah dengan sokongan perkhidmatan tempatan yang mantap.