Arkib : N9 Street Glide Hero

Kewujudan program karnival permotoran di seluruh negara adalah manifestasi pada keinginan para bikers dalam memberi sokongan terhadap acara tempatan. Port Dickson International misalnya, merupakan salah satu acara terbesar dalam kalendar permotoran negara yang dianjurkan setiap tahun di pantai peranginan Port Dickson Negeri Sembilan.


Lelaki di belakang tabir acara ini ialah saudara Azhar Bin Abdul Aziz dan pasukannya yang sentiasa memberi ilham memperbaharui acara tahunan mereka sehingga diiktiraf dalam kalendar pelancongan negeri. Menganjurkan acara pada skala ini bukanlah mudah namun sokongan yang diterima para bikers adalah tonggak kejayaannya yang membolehkannya sukses.


Jejaka berumur 47 tahun ini merupakan pengurus di salah sebuah syarikat pengedar Proton dan turut menjalankan aktiviti perniagaan motosikal. Beliau juga mendapat sokongan tak berbelah bagi dari isteri dan 5 orang anaknya. Kebetulan, isterinya juga mempunyai minat yang sama, saling membantu dan tidak kekok bergaul dengan rakan bikers yang lain.


Azhar mula meminati dunia motosikal sejak 15 tahun yang lalu. Sejak dari zaman mudanya, beliau memang meminati motosikal jenis cruiser. Motosikal pertamanya ialah Kawasaki Vulcan 500. Dua tahun kemudian beliau menjualnya dan menggantikannya dengan Vulcan yang sedikit lebih besar iaitu model 800.
Lebih 7 tahun menunggang Vulcan 800, Azhar ingin beralih arah ke identiti cruiser sebenar. Jika peminat touring/adventure akan mengakhiri matlamat dengan BMW GS1200, peminat cruiser lazimnya berakhir dengan Harley Davidson. Azhar memilih model Street Glide 1690cc yang melengkapkan impiannya memiliki cruiser tulen Amerika.


Pada awal penglibatan serius dalam dunia motosikal beliau pernah menganggotai beberapa kelab antaranya N9 bikers. Kemudian dengan beberapa orang kenalan rapat telah menubuhkan Southern Dragon Motor Club atau juga dirujuk sebagai Seremban District Motorcycle Club. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri dan kelab ini hanya berada pada organisasi kecil dengan keahlian kurang dari 50 orang.
Street Glide ini menerima beberapa pengubahsuaian ringan, lebih kepada perkakasan bolt on. Antaranya ialah sistem penuh ekzos Rinehart. Ia disatukan dengan air intake Screamin’ Eagle. Memang tak sah lah kalau pakai Harley tapi bunyi tak meletup letup, kan?


Lampu depan cruiser ini digantikan dengan mekanisme LED (dengan perumah jenis projektor) lampu sorot di sisinya juga ditukar kepada bulb LED untuk pencahayaan yang lebih baik. Akhir sekali, unit heat deflector dipasangkan dikedua-dua sisi di bawah pelana untuk mengurangkan tahap kepanasan cuaca tropika dari enjin V berkembar ini.

Beliau adalah seorang yang selalu berfikiran positif. Ditanya tentang kenangan pahit sepanjang menjadi bikers jawapnya tidak ada. Setiap cabaran atau kepayahan yang dihadapi ditempuh sebagai pengalaman yang memberi pengajaran. Ia adalah asam garam sebagai bikers sebenar. Jarang kami dapat jawapan begitu!
Menjadi bikers adalah tentang mematangkan diri dalam pergaulan dengan semua orang. Bikers sebenar tidak akan membezakan antara satu sama lain, hatta penunggang kapcai sekalipun. Asalkan dua roda, kita semua bersaudara katanya.