Alternatif Bagi Penggemar V-Twin Muscle Amerika!

Diperkenalkan lebih 20 tahun lalu, Victory Motorcycle merupakan antara jenama besar dalam segmen motosikal buatan Amerika Syarikat (AS). Victory Motorcycle ialah jenama yang dimiliki Polaris, sebuah syarikat pengeluar jentera salji (snowmobile) dan ATV dari Minnesota, AS.

Melihat kejayaan dan keuntungan jenama motosikal AS yang lain terutama Harley-Davidson, Polaris cuba mengeluarkan motosikal. Langkah itu nyata memberikan peminat motorsikal V-Twin buatan Amerika lebih pilihan selain daripada Harley-Davidson.

Percubaan pertama dalam memproduksikan motosikal mereka secara penuh bermula dengan pembinaan dan debut pertama model V92C di Mall of America, Planet Hollywood pada tahun 1997. Dikuasakan enjin 1,510cc, V92C mendapat reaksi positif daripada orang ramai, seterusnya menjadi pemangkin untuk produksi besar-besaran model tersebut.

Pembinaan V92C skala penuh yang bermula di Spirit Lake, Iowa pada musim panas 1998 ternyata berjaya. Ia kemudian menerima anugerah Motorcycle Cruiser of The Year daripada media AS pada tahun 1999. Selepas itu,Victory Motorcycle mengembangkan lagi barisan model motosikalnya dan terus menambat hati para penggemar motosikal gaya Amerika. Ia juga mula aktif memasarkan jenama tersebut di peringkat antarabangsa untuk bersaing dalam pasaran motosikal cruiser dan touring.

Victory Motorcycle berjaya menempa nama tersendiri apabila menghasilkan motosikal dengan rekaan progresif. Rekaan jenteranya tidak terikut-ikut dengan rekaan bertemakan klasik yang biasa dibayangkan oleh orang apabila berbicara tentang motosikal V-Twin Amerika.

Victory Motorcycle meraih reputasi tersendiri dengan menawarkan rekaan lebih ke hadapan serta mentakrifkan semula kuasa standard motorsikal Amerika. Setiap motosikal Victory Motorcycle dibina mereka yang juga gemar menunggang. Ini bagi merealisasikan kehendak sebenar para penunggang, selain memastikan pengalaman menunggang yang terbaik.

Antara model yang pernah diedarkan di pasaran Malaysia adalah Baggers, Touring dan Cruisers.

Baggers
Terdapat tiga pilihan untuk kelas Baggers iaitu Cross Road Classic, Cross Country dan Ness Cross Country Limited Edition. Untuk model Cross Road dan Cross Country, ia dikuasakan oleh enjin Freedom 106/6 V-Twin 1731cc dengan sistem pancitan bahan api yang menghasilkan tork 106 lb-ft dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.

Model-model itu dilengkapi sistem cruise control bagi memastikannya mudah dan selesa ditunggang untuk jarak jauh. Sistem brek ABS dipasangkan pada model-model ini untuk membolehkannya dihentikan secara efektif.

Sistem hiburan turut disertakan pada Cross Road dan Cross Country. Victory Motorcycle memasang speaker dengan kualiti premium daripada jenama Kickers. Selain radio frekuensi AM/FM, sistem audio tersebut boleh memainkan fail muzik pemain MP3 atau iPod anda.

Model Ness Cross Country pula lebih istimewa kerana motosikal-motosikal edisi terhad ini mendapat sentuhan peribadi daripada keluarga Ness iaitu Arlen Ness, Cory Ness dan Zach Ness.

Mereka ialah pembina motosikal ‘custom’ yang popular menerusi rancangan ‘Great Biker Build-Off’ terbitan Discovery Channel. Antara aksesori rekaan Ness yang dipasang ialah silinder dan kepala enjin yang dilakukan proses ‘diamond cut’. Di samping tempat duduk rekaan ‘custom’, cat dan grafik daripada legasi Ness, serta plat edisi terhad yang tercatat nombor produksi.

Touring
Untuk kelas Touring, dua model sedia untuk dipilih iaitu Vision Tour dan Cross Country Tour. Kedua-dua model itu dijana oleh enjin Freedom 106/6 V-Twin 1731cc dengan transmisi enam kelajuan. Tetapi enjin tersebut telah ditala untuk mendapatkan tork maksima 108lb-ft.

Vision Tour dan Cross Country Tour menawarkan suspensi belakang yang lebih selesa. Tempat duduk dan pemegang pada hendal pula dipasang dengan pemanas untuk keselesaan penunggang dan pembonceng ketika cuaca sejuk. Brek ABS dan cruise control juga didatangkan standard untuk kedua-dua model ini.

Istimewa untuk model Cross Country Tour, ia dibekalkan dengan ruang kargo terbesar dalam kelasnya iaitu berkapasiti 41.1 gelen. Model ini juga turut dilengkapi soket kuasa 12V serta penghadang angin depan yang tinggi.

Cruisers
Cruisers pula direka untuk mereka yang gemarkan rekaan sebenar motosikal buatan Amerika dan tunggangan berprestasi tinggi. Oleh itu,enjin Freedom 106/6 V-Twin 1,731cc pada semua Cruisers keluaran Victory Motorcycle ditala supaya dapat mencapai tork maksimum 110 lb-ft dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.

Terdapat tujuh model untuk dipilih iaitu Vegas 8-BALL, High-BALL, Hammer 8-BALL, Broadwalk, Jackpot, Judge dan Hammer S.