Aktiviti Pembukaan Untuk Kelab Yang Baru Ditubuhkan, Pembakar Semangat Untuk Ride Seterusnya!

Sepanjang ketiga-tiga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, pelbagai aktiviti dan program yang disusun terlebih dahulu oleh kelab-kelab motosikal terpaksa ditangguhkan dan ada juga yang terus dibatalkan. Semuanya dilakukan dalam usaha untuk memerangi pandemik covid-19 yang pernah di satu ketika mencatatkan kes positif harian tertinggi melebihi 23 ribu pada Ogos lalu.

Usaha keras semua pihak dalam memerangi pandemik berbahaya ini perlahan-lahan menunjukkan hasil. Disebabkan penurunan kes dan bilangan rakyat yang telah divaksin mencapai sasaran yang ditetapkan, kerajaan mula memberi kelonggaran dan membenarkan aktiviti merentas negeri. Peluang ini digunakan sepenuhnya dan sebaik mungkin oleh orang ramai khususnya kelab-kelab permotoran termasuk Kelab ANAK ANTU UTARA.

Kelab ini diilhamkan oleh saudara Abdul Qayyum atau lebih mesra dipanggil sebagai Qayyum, diasaskan ketika perlaksanaan PKP yang ketiga. Walaupun baru sahaja ditubuhkan, kelab ini mendapat sambutan menggalakkan dari ahli-ahli yang datang dari kawasan Seberang Perai Tengah Utara dan Selatan.

Setelah kerajaan membenarkan aktiviti merentas negeri, Kelab ANAK ANTU UTARA telah merancang Ride Santai Pusing Pulau sebagai permulaan aktiviti kelab yang diadakan pada 24 Oktober lalu. Walaupun atas kekangan kerja, ahli-ahli tetap berkelapangan dan disertai seramai 11 orang yang turut dimeriahkan oleh wakil majalan Roadstar di kawasan Utara, saudara Pak Art yang kembali aktif setelah lama berehat.

Ride telah dimulakan pada pukul 10.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 5.00 petang. Sambil pusing-pusing mengelilingi Pulau Pinang, para peserta dapat menikmati keindahan Pulau Mutiara. Semoga ride yang pertama ini menjadi titik permulaan untuk ride seterusnya. Mungkin lebih jauh lagi!