Litar Antarabangsa Sepang sekali lagi menjadi pentas penuh debaran apabila AEON Credit MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2025 melabuhkan tirainya dengan aksi pusingan keempat yang sengit dan dramatik. Setiap kategori menyaksikan pertarungan hebat di antara pelumba-pelumba terbaik negara dan rantau ini, dengan sebahagian besar kejuaraan musim ini akhirnya ditentukan di litar berprestij itu. Walaupun hujung minggu dipenuhi tekanan dan saingan rapat, semangat perlumbaan kekal tinggi hingga ke detik terakhir bendera dikibarkan.
Dalam kategori MSBK1000 A, pelumba Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar, muncul wira hujung minggu selepas merangkul dua kemenangan berturut-turut sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim 2025. Bermula di kedudukan ketiga di belakang rakan sepasukan Muhd Helmi Azman dan Kasma Daniel Kasmayudin dari Hong Leong Yamaha, Azroy mempamerkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan. Aksi strategiknya di selekoh ke-13 memberi ruang untuk mendahului saingan dan mengekalkan kelebihan hingga ke garisan penamat.
Azroy menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 21’14.808s, diikuti Helmi di tempat kedua dan Kasma di tempat ketiga. Kemenangan berganda ini bukan sahaja mengesahkan keunggulannya di kategori MSBK1000 A, malah meletakkan namanya sebagai pelumba paling dominan musim ini dengan kutipan 179 mata keseluruhan. Di belakangnya, Kasma mengakhiri musim dengan 162 mata, manakala Helmi menutup kempen di tempat ketiga dengan 92 mata.
Top 5 Terpantas – MSBK1000 A
1. Azroy Hakeem Anuar – Honda Racing MYS (21’14.808s)
2. Muhd Helmi Azman – Honda Racing MYS (21’15.163s)
3. Kasma Daniel Kasmayudin – Hong Leong Yamaha MYS (21’17.747s)
Top 5 – Kedudukan Keseluruhan
1. Azroy Hakeem Anuar – Honda Racing Malaysia (179 poin)
2. Kasma Daniel Kasmayudin – Hong Leong Yamaha Malaysia (162 poin)
3. Muhd Helmi Azman – Honda Racing Malaysia (92 poin)
Dalam kategori MSBK600, tumpuan terarah kepada pertembungan dua nama besar Md Izam Ikmal Izamli dari Hong Leong Yamaha Malaysia dan Khairul Idham Pawi dari Honda Racing Malaysia. Perlumbaan kali ini berlangsung sengit dari awal, dengan kedua-duanya saling bertukar kedudukan hampir setiap pusingan. Izam akhirnya muncul juara Race 2 selepas pertarungan mendebarkan hingga ke selekoh terakhir, menamatkan perlumbaan hanya 0.063 saat di hadapan Khairul.
Walaupun Izam meraih kemenangan penuh dramatik, gelaran Juara Keseluruhan MSBK600 2025 tetap milik Khairul yang mengumpul 147 mata hasil rentetan prestasi konsisten sepanjang musim. Di belakangnya, Farres Putra menamatkan kempen di tempat kedua dengan 114 mata, diikuti Cao Viet Nam dengan 109 mata – membuktikan kategori ini kekal sebagai salah satu kelas paling kompetitif dalam MSBK.
Top 5 Terpantas – MSBK600 2025
1. Muhd Izam Ikmal Izamli – Hong Leong Yamaha MYS (22’15.716s)
2. Khairul Idham Pawi – Honda Racing MYS (22’15.779s)
3. Farres Putra Mohd Fadhil – Hong Leong Yamaha MYS (22’24.475s)
Top 5 – Kedudukan Keseluruhan
1. Khairul Idham Pawi – Honda Racing MYS (147 poin)
2. Farres Putra Mohd Fadhil – Hong Leong Yamaha Malaysia (114 poin)
3. Cao Viet Nam – Honda Racing Vie Team (109 poin)
Sementara itu, kategori MSBK250 A menyajikan penamat penuh kejutan. Idlan Hakimi Raduan dari Horizon Racing Team menamatkan Race 2 dengan kemenangan dramatik selepas saingan sengit dan beberapa insiden yang mengubah rentak perlumbaan. Hujung perlumbaan menyaksikan pelumba utama Sai Rahil dan Ahmad Afif Amran terjatuh di selekoh kesembilan, membuka ruang untuk Idlan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan masa 19’37.263s.
Walaupun tewas dalam perlumbaan terakhir, Ahmad Afif Amran dari Superfast JRT x Rapido tetap muncul sebagai Juara Keseluruhan MSBK250 A 2025 dengan 151 mata. Rakan sepasukannya, Md Akid Aziz, berada di tempat kedua keseluruhan dengan 131 mata, manakala Irfan Ardiansyah melengkapkan podium kejuaraan di tempat ketiga dengan 112 mata – menggambarkan kekuatan dan kedalaman pasukan Superfast sepanjang musim.
Top 5 Terpantas – MSBK250 A
1. Idlan Hakimi Raduan – Horizon Racing Team (19’37.263s)
2. Reynaidi Pradana – Rey Racing Speed (19’37.264s)
3. Md Akid Aziz – Superfast JRT X Rapido (19’37.300s)
Top 5 – Kedudukan Keseluruhan
1. Ahmad Afif Amran – Superfast JRT X Rapido (151 poin)
2. Md Akid Aziz – Superfast JRT X Rapido (131 poin)
3. Irfan Ardiansyah – Maeztro NWN SCK Honda Racing Team (112 poin)
Pusingan terakhir di Sepang bukan sekadar penentu kejuaraan, tetapi juga penutup kepada satu musim penuh cerita dan emosi. Dari pelumba muda yang mencipta nama hingga jaguh berpengalaman yang terus mengekalkan rentak, MSBK 2025 sekali lagi membuktikan bahawa kejuaraan ini kekal sebagai platform tertinggi bagi pelumba tempatan dan serantau untuk menonjolkan bakat serta semangat juang sebenar dunia dua roda.