Akid Aziz Juara CP150, Pasukan Honda KC Racing Kuasai Litar!

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz menjamin kemenangan bagi Pusingan 2 musim ini untuk saingan perlumbaan CP150.

Di awal perlumbaan, Md Muzakkir Mohamed dari ONEXOX TKKR RACING TEAM dengan pantas mengambil kedudukan hadapan namun pantas dipintas oleh Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dan Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR.

Di P5 adalah Akid yang masih berada dalam proses mencari rentak. Walaupun permulaan yang kurang baik namun ada peningkatan positif apabila Akid berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok hadapan dan mula memberi tekanan kepada Kasma dan Nazirul yang mengetuai perlumbaan.

Memasuki lap ke-15, Akid yang berjaya memintas Nazirul dan Kasma tampak lebih berkeyakinan dengan jenteranya lalu mula meningkatkan kelajuan dan menyaksikannya memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14’36:350s. Kasma mengambil tempat kedua dengan catatan masa 14’36:995s. Di tempat ketiga adalah Nazirul dengan catatan masa 14’38:155s.

Irfan Kekal Cemerlang
Sementara itu, di kategori CP125 menyaksikan pelumba Honda KC Racing, Md Irfan Haykal Amidi yang berjaya mengekalkan momentum kemenangan selepas memenangi perlumbaan pusingan lalu di Jasin.

Perlumbaan akhir bermula dengan Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mendahului perlumbaan. Manakala Irfan mengikut rapat di belakang kemudian memintasnya sebelum memasuki lap kedua. Irfan konsisten mengetuai perlumbaan diikuti Syamil dan Md Aliff Danial Md Asri dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR.

Perlumbaan menyaksikan percubaan Aliff untuk memintas kedudukan Md Farish Iqmal Khayrul Elyas – dari pasukan HONDA KC RACING namun tidak membuahkan hasil, dan perlumbaan berakhir dengan Irfan meraikan kemenangan keduanya pada musim ini dengan catatan masa 11’34:032s. Syamil akur di tempat kedua dengan catatan masa 11’37:173s. Farish pula mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11’42:478s.

Akif Berkuasa di Tangkak
Manakala perlumbaan kategori Wira KBS yang cukup sengit turut menyaksikan pelumba HONDA KC RACING Md Akif Abdullah sekali lagi meraih kemenangan buat pasukannya di Tangkak.

Akif memulakan perlumbaan di petak grid ketujuh selepas menamatkan sesi kelayakan di tempat ketujuh dengan catatan masa terpantas 47:529s di belakang pelumba YAMAHA ESTREMO 27 RACING, Md Adib Arsyad Md Hisam yang mencatatkan masa terpantas 46:615s untuk bermula di petak grid pertama. Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Farres Putra Md Fadhill dengan catatan 46:669s bermula di petak grid kedua.

Sejurus perlumbaan bermula, Adib dan Akif berada di hadapan berebut untuk mengetuai kumpulan. Akif berjaya mencari ruang untuk memintas Adib dan Farres namun kembali di pintas Adib. Babak perlumbaan semakin sengit apabila pelumba terus saling memintas untuk posisi pertama.

Akif terus meningkatkan kelajuannya dalam masa sama memastikan kedudukannya tidak dipintas dan akhirnya memenangi perlumbaan selepas melepasi garisan penamat dengan catatan masa 9’28:400s. Tempat kedua jatuh ke tangan Adib 9:32:990s. Adi Putra Anahar dari HONDA KC RACING mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 9’33:737s.

Top 3 Terpantas
CP150
Md Akid Aziz – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’36:350s)
Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’36:995s)
Nazirul Izzat Md Bahauddin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’38:155s)

CP125
Md Irfan Haykhal Amidi – HONDA KC RACING (11’34:032s)
Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (11’37:173s)
Md Farish Iqmal Khayrul Elyas – HONDA KC RACING (11’42:478s)

Wira KBS
Md Akif Abdullah – HONDA KC RACING (9’28:400s)
Md Adib Arsyad Md Hisam – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (9’32:990s)
Adi Putra Anahar – HONDA KC RACING (9’33:737s)