Tayar, tayar, tayar dan soalan yang sering ditanyakan, bagaimanakah prestasi tayar dan kenapa perlu menggunakan tayar yang dikeluargakan jenama tersebut. Tidak dinafikan, pemilihan tayar yang tepat bukan sesuatu perkara yang mudah. Tambahan lagi, terlalu banyak pilihan tayar dari pelbagai jenama yang ditawarkan di pasaran. Bukan itu sahaja, banyak lagi faktor-faktor lain yang mempengaruhi pembelian tayar seperti jenis motosikal yang pelbagai, iklim di seluruh dunia dan juga gaya penunggangan yang berbeza-beza.
1. Tidak Pernah Puas Untuk Belajar Sesuatu Yang Baharu
Sebagai sebuah syarikat tayar, Michelin masih lagi mengambil inspirasi sebagaimana Édouard dan André Michelin gemar mencari cara-cara baharu untuk memastikan tayar yang dikeluarkan menjadi lebih baik.
Michelin juga merupakan perintis pengeluar tayar beberapa teknologi tayar penting (akan disebut sebentar lagi) sejak tahun 1889. Bermula dari permulaan yang sederhana, Michelin terus berusaha untuk menghasilkan teknologi-teknologi terbaharu dan membelanjakan sekitar €640 million (RM3,586,894,491.73) untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan pada tahun 2017. Kebanyakan teknologi baharu serta ilmu pengetahuan yang diperolehi adalah hasil kerjasama Michelin dalam sukan-sukan permotoran seperti MotoGP.
2. Tayar Boleh Tanggal Yang Pertama
Tahukah anda, tayar pneumatik pertama digamkan kepada rim untuk menampal tekanan angin?
Pada tahun 1889, seorang penunggang basikal datang ke kilang getah adik-beradik Michelin dengan tayar pancit. Disebabkan tayar tersebut digam dengan rim, tiga jam masa diambil untuk mengeluarkan dan membaiki tayar pancit itu. Gam disapukan dan tayar dipasangkan semula ke atas rim serta dibiarkan semalaman agar gam benar-benar kering. Malangnya, tampalan ini tertanggal selepas beberapa ratus ela.
Hal ini telah mendorong adik-beradik Michelin untuk menghasilkan jenis tayar baharu, yang tidak diperlu dilekatkan kepada rim. Selepas menjalankan penyelidikan dan pembangunan selama dua tahun, mereka telah mematenkan tayar pneumatik boleh tanggal yang pertama pada tahun 1891.
Tayar tersebut digunakan oleh Charles Terront yang kemudiannya memenangi perlumbaan basikal Paris-Brest-Paris (atuk moyang kepada perlumbaan Tour de Paris) pada tahun yang sama. Selain itu, Michelin juga menghasilkan tayar pneumatik pertama untuk kereta pada tahun 1895. Ya, ia juga boleh ditanggalkan!
Ia menjadi detik permulaan untuk lebih banyak perkara cemerlang yang dicipta oleh syarikat getah Michelin. Paling penting, kita seharusnya mengucapkan Merci beaucoup (terima kasih banyak-banyak) kepada adik-beradik Michelin ini kerana mereka, kita tidak perlu bermain gam untuk melekatkan tayar kepada rim!
3. Tayar Radial Pertama
Michelin mempatenkan tayar pneumatik radial yang pertama pada 4 Jun, 1946 dan dimuatkan ke beberapa model Citroën yang kemudiannya menjadi jenis tayar yang paling banyak digunakan di seluruh dunia. Tayar radial memberikan prestasi yang jauh lebih baik, perbatuan yang tinggi dan juga keselamatan yang dijamin.
Namun begitu, hanya pada tahun 1983 Michelin memperkenalkan tayar radial untuk motosikal. Ia bermula dengan pertandingan lumba motosikal, 500cc World Motorcycle Grand Prix. Freddie Spencer menjadi pelumba pertama yang menggunakan tayar tersebut dan memenangi perlumbaan pada tahun berikutnya dengan tayar radial dari Michelin. Ketika ini, pasukan-pasukan bersama para pelumba bebas memilih tayar pilihan masing-masing di mana kebanyakannya bertukar menggunakan tayar radial Michelin.
Selepas penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan di atas litar lumba, syarikat Michelin memperkenalkan A89X dan M89X tayar radial jalanan pada tahun 1987. Tayar ini boleh digunakan ke atas hampir semua jenis motosikal. Tidak melampau kalau dikatakan, motosikal yang ada pada hari ini mustahil dapat beraksi cemerlang tanpa kehadiran tayar radial.
4. Kompaun Silika Pertama
Pengeluar tayar telah cuba mencampurkan silika (silikon dioksida) ke dalam tayar-tayar keluaran mereka untuk satu tempoh tetapi tidak berjaya. Namun, Michelin akhirnya berjaya memecahkan kod ini pada tahun 1990 dan menawarkan kompaun baharu ke dalam grid MotoGP.
Para pelumba mendapati cengkaman yang diberikan ketika keadaan basah tidak pernah didapati sebelum ini, ia membolehkan pelumba memecut lebih laju walaupun litar basah. Pada masa yang sama, campuran silika ini turut memberi kestabilan kompaun tayar sekaligus menjadikan ia bertahan lebih lama dan kurang golekan. Dalam erti kata yang lain, memang sedap memecut!
Teknologi tersebut kemudiannya dipindahkan ke tayar Michelin Pilot Sport pada tahun 1999 dan terus digunakan dalam kebanyakan tayar motosikal Michelin yang lain sehingga hari ini.
5. Tayar Dwi-Kompaun Pertama
Para penunggang motosikal lama sering memberi komen tentang kehausan tayar di bahagian tengah lebih pantas berbanding di bahagian sisi (bahu). Cengkaman lawan perbatuan sering kali bercanggah.
Pelumba profesional MotoGP juga mempunyai pendapat yang sama. Mick Doohan pernah berkata, “Kalau dapat cengkaman bahagian tepi, takkan dapat cengkaman yang sama di tengah. Kalau dapat cengkaman di tempat tengah dan takkan dapat di bahagian sisi.”
Michelin mengambil serius hal ini dan memperkenalkan tayar dengan dua kompoun yang berbeza pada tahun 1994. Bahagian tengah lebih keras untuk menahan tekanan penunggangan, manakala di bahagian sisi lebih lembut untuk memberikan lebih cengkaman ketika masuk selekoh. Malah, jurutera boleh menala kelembutan kompoun sisi tanpa memberi kesan terhadap kompaun di bahagian tengah.
Selepas menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk beberapa lama, teknologi tersebut dipindahkan pula kepada tayar motosikal jalanan pada tahun 2005 dengan memperkenalkan tayar Michelin Power Race. Ia merupakan tayar lumba yang juga disebatikan untuk kegunaan biasa.
Pada tahun 2006, Michelin Pilot Road 2 membuat penampilan dengan dilengkapi 2CT (2 Compound Technology) untuk motosikal yang digunakan atas jalan biasa. Kompaun tayar disebatikan dengan campuran silika, menjadikan sebuah tayar yang ideal.
Michelin tidak berhenti setakat di situ dan mengeluarkan 3 tayar kompaun pada tahun 2009. Teknologi-teknologi ini dipanggil sebagai Asymmetric Technology (AST) dan 3CT. Seperti namanya, sebelah kompoun sisi adalah lebih lembut berbanding sisi satu lagi untuk kegunaan di litar yang mempunyai nombor berlainan di sudut tangan kanan/ tangan kiri.
Siapa tahu, mungkin satu hari nanti teknologi 3CT dan AST juga akan sampai kepada para pengguna di luar untuk pengeluaran biasa dan kegunaan trackday?
Bukan hanya lima sumbangan terpenting ini dari Michelin dalam lumba motosikal dunia kerana ada banyak lagi sumbangan hebat yang diberikan. Berita baiknya, Michelin tidak akan berhenti berinovasi dan ianya boleh dilihat menerusi teknologi-teknologi baharu yang tidak pernah kita semua fikir.