Kolabarasi GIVI & MotoWazi

Secara umumnya, keseronokan menunggang secara berkumpulan sama ada bersama rakan atau mereka yang memiliki jentera yang sama saban minggu nyata sesuatu yang menghiburkan. Namun apakah mereka atau ramai ahli kumpulan yang sedar bahawa peranan Marshal cukup penting bagi memastikan undang-undang atau peraturan yang harus setiap ahli kumpulan patuhi ketika berkonvoi?

Marshal atau lebih senang ketua dalam memimpin aktiviti konvoi bermotosikal merupakan individu penting dalam mengendalikan sesuatu perkara terutama ketika berada di atas jalan raya. Tugas mereka cukup mencabar dan adakalanya tampak jelik, bengis, tegas ketika bertugas.

Inilah tugas seorang marshal. Kerana itu, pengeluar aksesori motosikal terkemuka di dunia, GIVI Asia dengan kerjasama Motowazi telah mengadakan gabungan kerjasama dalam program yang diberi nama “Kursus Teknik Keselamatan Tunggangan Marshal” yang dihadiri seramai 40 orang penunggang motosikal di Stadium Melawati Shah Alam baru-baru ini.

Merupakan kolaborasi pertama buat GIVI dan Motowazi, program sosial korporat ini bertujuan memberi pendidikan secara teori mengenai tugas-tugas seorang ‘marshal’ serta ujian secara praktikal mengenai pengendalian motosikal, kedudukan dan cara komunikasi dengan selamat tatkala berada di atas jalan raya.

Setiap peserta yang bakal menjadi marshal juga turut diingatkan bahawa aktiviti berkonvoi sering kali tercemar dengan permasalahan beberapa perkara hingga adakalanya menyebabkan rasa tidak senang di kalangan pengguna jalan raya yang lain dan juga sikap ahli kumpulan yang jelas mengundang risiko bahaya di atas jalan raya.

“Kursus Teknik Keselamatan Tunggangan Marshal” juga bukan sekadar memberikan pendidikan teori dan praktikal berkaitan tugas-tugas seorang marshal tetapi juga mengetengahkan tunggangan keselamatan yang betul dan berhemah ketika berada di atas jalan raya.

Ianya termasuk cara pemeriksaan motosikal dengan betul, penggunaan pakaian keselamatan seperti topi keledar, jaket keselamatan, baju hujan dan pemakaian kasut yang sesuai ketika menunggang.

Tambahan lagi dengan program sosial korporat sebegini, ianya mampu meningkat kesedaran kepada para penunggang tentang ciri-ciri keselamatan yang perlu mereka patuhi bagi mengelakkan sesuatu musibah yang bakal berlaku.

Menurut Pengurus Pemasaran GIVI Asia, Samir Sharman, kerjasama GIVI dan Motowazi buat julung kalinya dalam program kursus keselamatan sebegini adalah bagi meningkatkan kesedaran para penunggang tentang ciri-ciri keselamatan tidak kira ketika menunggang secara solo (bersendirian) mahupun dalam kelompok ahli yang ramai.

Program yang dikendalikan oleh pelatih berpengalaman dan diiktiraf kelayakan seperti jagoan Raja Kapcai seperti Wazi Abdul Hamid, Samir yakin sedikit sebanyak program ini dapat membantu dalam meningkatkan displin dan sikap pemilik motosikal ketika aktiviti konvoi mereka berada di atas jalan raya selain mengamalkan aspek keselamatan diri dan kumpulan terbabit.