Ninja Agresif Kawasaki ZX6R 2013

Kawasaki ZX6R 636 popular dalam kalangan peminat jentera dua roda sports. Malah banyak laporan media antarabangsa yang mengangkat motosikal ini sebagai antara yang terbaik dalam kelasnya. Fakta itu membuatkan saya semakin bersemangat untuk mendekatinya. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, ZX6R 636 2013 dinaik taraf dari segenap segi.

Kapasiti enjin, sistem elektronik, suspensi, brek, pengemudian, klac dan gaya rekaan badan, semuanya telah dipertingkat. ZX6R 636 mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya tidak. Saiznya cukup padan dengan kapasiti enjin dan kategorinya. Gaya rekaan yang digunakan pada motosikal ini mengekalkan sifat garang sebuah Ninja. Pada masa yang sama kekal moden.

Sesuai dengan karekternya sebagai sebuah jentera supersports, ZX6R 636 sedia memberi pengalaman mengujakan kepada penunggangnya. Enjin 636cc baharu yang direka semula (sebelum ini ZX6R menggunakan enjin 599cc) agak agresif. Ia juga mempunyai kadar putaran enjin (rpm) yang tinggi. Dari tahap rpm rendah lagi, kuasanya sudah boleh terasa. Bayangkan sahaja jika jarum rpm mencecah tahap merah pada 16,000rpm.

Menunggang motosikal ini pada kelajuan rendah atau santai mungkin sedikit ‘menyakitkan’. Tetapi jika anda seorang yang agresif, jentera ini pasti memuaskan hati. Ini kerana apabila bergerak perlahan, raungan enjinnya agak ketara. Jadi, ia membuatkan anda sentiasa ingin menukar gear yang lebih tinggi. Selain itu, posisi tunggangannya pula memerlukan penunggang supaya menunduk. Jika ditunggang laju, sekurang-kurangnya tumpuan penunggang akan lebih terarah kepada jalan dan kurang ditolak oleh angin.

Kemampuan jentera ini bukan setakat di jalan lurus. Malah, boleh diajak berseronok di jalan bengkang-bengkok. Jika selekoh tersebut berturut-turut ke kiri dan ke kanan, menunggang ZX6R 636 tidak memberi sebarang masalah kerana binaan badannya yang ringan menjadikannya lebih lincah.

Sudah tentu, dengan bentuk dan rekaan supersports, gaya mengambil selekoh yang betul iaitu menggunakan berat badan untuk mencondongkan motosikal dapat memberikan lebih keyakinan kepada penunggang.

Aksi ketika selekoh diambil kemudian disokong pula oleh sistem Kawasaki Traction Control (KTRC) yang tersedia sebagai ciri standard. Melalui sistem KTRC, penunggang boleh memilih tiga tahap kuasa dan tindak balas brek yang bersesuaian. Penunggang hanya perlu menekan butang yang ada pada bahagian kiri hendal pemegang.

Biasanya, jika menunggang motosikal jenis supersports, suspensinya agak keras dan setiap hentakan dapat dirasa terus ke punggung. Tetapi ZX6R 636 baharu lebih selesa kerana springnya yang lebih panjang dan lembut. Tempat duduknya yang nipis dan rata membuatkan punggung kebas. Anda juga tidak senang duduk jika menunggang dalam perjalanan jauh, terutamanya selepas melebihi dua jam.

Apapun, jika diletakkan sebaris dengan pesaing dalam kategorinya, saya boleh katakan bahawa ZX6R 636 mempunyai kelebihan. Baik dari segi gaya mahupun prestasi.

Kawasaki ZX-6R 636
Spesifikasi
Enjin : 636cc, empat silinder sebaris, empat lejang, 16 injap dan sistem penyejukan cecair
Transmisi : Enam kelajuan jenis klac basah
Kuasa maksimum : 129hp @ 13,500rpm
Tork maksimum : 71Nm @ 11,500rpm
Brek : cakera 310mm berkembar, dua angkup monobloc empat piston (hadapan) dan cakera 220mm tunggal, angkup tunggal di belakang

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 2