Bantuan Givi Malaysia Hadapi Covid-19

Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak mengambil inisiatif untuk membantu golongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang bukan sahaja mengancam kesejahteraan negara, malah melumpuhkan sebahagian besar negara lain di seluruh dunia. Tidak ketinggalan, Givi Malaysia turut memberi sumbangan dan menghulurkan bantuan menerusi GivistaCares yang telah diadakan pada 14 Mei lalu.

Bertempat di Bukit Canggang, Selangor, inisiatif ini turut menerima sokongan dari Motowazi dan Budak Ani yang mengambil kesempatan ini menyerahkan barang-barang keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, telur dan biskut kepada lebih 17 buah keluarga yang kurang bernasib baik. Antara golongan yang menerima sumbangan ini termasuk keluarga kurang keupayaan, ibu-ibu tunggal dan juga golongan anak-anak yatim.

Bagi makluman, #GivistaCares ditubuhkan oleh Givi Malaysia untuk membantu komuniti dan masyarakat khususnya ketika menghadapi saat-saat sukar dan genting seperti Covid-19 ini. Selain itu, inisiatif ini juga membantu menyebarkankan lagi kesedaran kepada masyarakat untuk sentiasa bersyukur dengan segala yang ada dan juga ikhlas memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Semoga sedikit sumbangan yang diserahkan seperti barang-barang keperluan harian dapat memberi bantuan kepada keluarga-keluarga yang terjejas dan mengurangkan beban. Sumbangan ini juga diharapkan dapat menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.