10 Tips Penjagaan Motor Ketika PKP

Jika dibuat perbandingan, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 3.0 tidaklah seketat PKP yang diadakan pada Mac tahun lalu. Para penunggang motosikal masih lagi boleh bergerak dalam daerah yang tidak melebihi 10km sama ada berulang alik ke tempat kerja ataupun ada perkara mustahak yang perlu dilakukan itupun dengan surat kebenaran.

Dalam situasi begini, ramai penunggang motosikal terpaksa menyimpan jentera dua roda masing-masing. Bukan mudah untuk membuat penunggang motosikal melupakan seketika hasrat menunggang motor kesayangan tetapi ia terpaksa dilakukan demi membantu negara melandaikan lekuk kes positif yang dicatatkan setiap hari. Kita masih belum menang!

Namun begitu, menyimpan motosikal tidak bermaksud meninggalkan ia tanpa perlu sebarang penjagaan. Jangan begitu. Ada beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan motosikal kesayangan anda berada dalam keadaan yang baik!

1. Isi Minyak
Pastikan tangki penuh dan diisi dengan minyak sebelum menyimpan motosikal. Ruang yang dibiarkan kosong menghasilkan wap ekoran minyak yang disejat.

2. Campurkan Dengan Sistem Pencuci Bahan Api
Minyak yang disejat akan meninggalkan varnis yang menyelaputi sistem pembakaran termasuk hos dan injektor. Lapisan varnis yang tebal akan menyekat bahagian komponen sekaligus mengganggu prestasi enjin. Tambahkan sedikit bahan pencuci sistem bahan api atau penstabil bahan api ketika anda mengisi minyak.

3. Pam Tayar
Isi angin pada tayar anda dan pastikan ia lebih dari kebiasaan. Ini untuk mengelak dari berlakunya keleperan pada tayar kerana terlalu lama tidak bergerak. Sebelum kembali menggunakan motor, pastikan anda mengeluarkan angin yang berlebihan tadi.

4. Tukar Minyak
Anda masih boleh pergi ke bengkel atau menukar sendiri di rumah. Minyak yang baru akan menjaga enjin motor anda dengan lebih baik. Pastikan enjin dibiarkan terpasang dalam beberapa minit selepas pengisian minyak yang baru untuk memastikan ia disebarkan ke seluruh bahagian enjin.

5. Cuci Motor
Basuh dan cuci seluruh bahagian motosikal termasuk rantai kerana dengan berbuat demikian, anda boleh mengenalpasti sekiranya ada masalah atau berlaku sebarang kerosakan dengan lebih.

6. Penjagaan Bateri
Cara terbaik adalah dengan mengecas bateri anda. Pengecasan cara ini dapat mengawal voltan dan pengaliran arus secara automatik. Menanggalkan bateri dari terminalnya mengurangkan kehausan tenaga tetapi dalam masa yang sama ia menjimatkan trip meter, data servis dan jam diset semula.

7. Hidupkan Enjin
Enjin dihidupkan dan biar sehingga 10 minit atau sehingga kipas berpusing agar minyak dan penyejuk berfungsi dengan baik. Cas bateri setiap dua hari sekali.

9. Sapukan Pelincir
Sapukan minyak pelincir ke atas kabel atau peralatan yang boleh bergerak agar tidak berhabuk dan berkarat. Percayalah, tips yang ini sangat berguna. Kabel yang kering dan berkarat boleh putus sebaik sahaja anda memulakan perjalanan.

10. Tutup Motor
Satu lagi cara terbaik untuk melindungi motor dari habuk dan benda-benda lain yang tidak diingini. Alihkan penutup ini apabila anda ingin memeriksa keadaan motor.

Jadi, itulah kesemua 10 cara atau tips untuk anda menyimpan motosikal sepanjang musim PKP3.0 ini. Diharapkan ia dapat membantu!