Teruja Membawa Suzuki Raider R150 Fi

Pelbagai ulasan diberikan Ketua Polis Negara (KPN) sedikit masa dahulu terhadap model Suzuki ini, menjadikan ia jentera paling berkuasa dalam segmen kapcai dan kehadirannya sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Penulis juga tidak terkecuali, sedikit teruja apabila sekali lagi diberi peluang oleh Suzuki Malaysia. Ini merupakan kali kedua penulis menguji jentera kapcai paling berkuasa dan kali pertama ketika pasca pra tunggang uji yang dibuat pada bulan Ramadan lepas. Penulis telah pun memerah jentera ini ketika melalui lebuh raya Kajang-Seremban (LEKAS).

Bagi makluman, mungkin ramai dalam kalangan peminat Suzuki masih belum mengetahui sejarah motosikal ini. Raider R150 Fi adalah generasi terbaharu bagi menggantikan model Suzuki Belang 150 yang pernah popular di pasaran tempatan satu ketika dulu. Penulis memberi model ini dengan julukan ‘The Return of the King’ berikutan kembalinya jentera ini dalam pasaran tempatan, manakala kelajuan jenteranya masih kekal sekalipun kapasiti enjinnya sama dengan model moped dalam segmennya.

Imej yang ditonjolkan selain tajuk yang seakan ‘gah’ sememangnya memberi petunjuk bahawa Raider R150 Fi adalah generasi baharu motosikal moped yang bakal kembali mengegar pasaran tempatan. Sebaik menaiki jentera ini, kesempurnaan jelas dapat dirasai sekalipun suis penghidup masih belum dimulakan penulis. Handle bar yang sedikit ke bawah seakan-akan memberi maksud bahawa jentera kapcai ini sedia ‘berperang’ dengan segmen kapcai seangkatan dengannya.

Agak sedikit membongkok, namun ia tidak sedikit pun memberi masalah kepada penulis. Citranya memang begitu, malah kedudukan kaki yang sedikit tinggi dan pelana jenis memanjang, membantu penunggang untuk kekal pada posisi tunggangan yang sempurna.

Raider R150 Fi menggunakan enjin 147.3 cc silinder tunggal yang mampu menjana 18.2hp pada 10,000rpm dan tork setinggi 13.8 Nm. Menjadi enjin paling berkuasa pernah dipasang pada Raider, ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Bukan itu sahaja, malah team dari jurutera Suzuki telah memasang beberapa teknologi bagi memastikan pengedaran kuasa lebih lancar dan cekap ketika jentera ini beraksi di atas jalan raya.

Antaranya ialah sistem pancitan bahan api jenis empat lubang, dibantu dengan sensor terbina di dalam enjin, injap kemasukan dan ekzos yang lebih besar. Selain penggunaan bahan Suzuki Composite Electrochemical Material (SCEM) pada bahagian silinder. Berbanding model lama, sistem saluran ekzos kini lebih besar iaitu 31.8mm berbanding 25.4mm model sebelumnya. Komponen tersebut berfungsi untuk memastikan tindak balas optimum bagi julat putaran enjin yang lebih luas.

Raider R150 dibina di atas kerangka Suzuki Advanced Twin Spar yang lebih ringan. Ia menjanjikan tahap kestabilan mantap seperti GSX-R. Tugas membrek pula diserahkan kepada sistem brek cakera depan dan belakang. Jentera ini dipasang dengan rim bersaiz 17 inci yang dibalut tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang sekali gus memberi kekuatan kepada mereka yang mahu membawa penumpang atau bebanan lain.

Penulis juga memuji terhadap sistem suspensi hadapan pula ialah jenis fork teleskopik, diikuti lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang. Kedua-dua komponen membantu penulis untuk mendapat keselesaan ketika berada di atas jalan raya yang tidak rata dan permukaan yang agak ekstrem.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 4.0 liter atau hampir RM10 bagi satu isian membolehkan anda membawa jentera ini sehingga jarak perjalanan dari Kajang hingga ke Ipoh tanpa pengisian semula (bergantung kepada corak tunggangan). Untuk tunggang pada jarak sederhana seperti yang diungkapkan penulis tadi, ketinggian pelana adalah setinggi 765mm sedikit sebanyak membantu mengurangkan keletihan kepada penulis.

Tanpa mengira faktor umur atau ketinggian si penunggang, jentera ini pada tanggapan penulis, masih sesuai untuk ditunggang oleh sesiapa sahaja. Model ini menggunakan rekaan unik dengan fairing kecil untuk lampu hadapan, dan didatangkan dengan ciri moden seperti lampu jenis LED, meter digital LCD serta pemula enjin elektrik serta tendang.

Bagaimanapun, Suzuki Raider R150 Fi masih menggunakan kunci bagi unit konvensional yang perlu dicucuk seperti biasa dan bukannya sistem kunci pintar seperti mana model terkini. Untuk memudahkan penyelenggaraan, Suzuki Raider R150 Fi merupakan model underbone bawah 150 cc yang pertama hadir dengan rekaan rantai tertutup (sealed chain) baharu. Panel instrumen LCD penuh dengan paparan lampu latar berwarna merah menawarkan pelbagai informasi yang penting dan mudah untuk dibaca oleh penunggang. Misalnya rev counter, kapasiti bahan api, indikator gear, perbatuan, dan jam.

Bagi mereka yang mempunyai perancangan untuk mendapatkan jentera ini, Suzuki Raider R150 Fi boleh dimiliki pada harga bermula RM8,173 (di atas jalan tanpa insurans) dan pendapat penulis selain dapat digunakan sebagai pengangkutan harian, jentera ini juga mampu untuk membawa anda untuk percutian hujung minggu.

Spesifikasi Suzuki Raider R150 Fi
Jenis Enjin : Silinder Tunggal, Sejukan cecair, 4-lejang, DOHC
Enjin : 147 cc
Kuasa : 18 hp
Kapasiti Tangki
Bahan Bakar (Liter) : 4 L
Lebar : 675 mm
Ketinggian Tempat
Duduk : 765 mm
Jarak Roda : 1280 mm
Tinggi : 980 mm
Panjang : 1960mm
Kelegaan Dari Tanah : 150 mm
Berat : 112 kg
GearBox : 6-Kelajuan
Jenis Transmisi : Manual
Jenis Tayar : Tanpa Tiub
Saiz Rim Depan : R17
Tayar Depan : 70/90 R17
Saiz Rim Belakang : R17
Tayar Belakang : 80/90 R17
Sistem Pembakaran : Fi
Bilangan Silinder : 1-Silinder
Gerak x Lejang : 62.0 mm x 48.8 mm
Nisabah Mampatan : 11.5: 1
Kuasa : 18.2 hp @ 10,000 rpm
Paip Ekzos : Ekzos Tunggal
Valve Configuration : DOHC
Jenis Drive : Chain Drive
Tork Maksimum : 14 Nm
Jenis Klac : Kering, Multi-Plate
Sistem Pelinciran : Wet Sump
Bil. Lejang : 4-Lejang
Sistem Penyejuk : Sejukan Cecair