Dulu ada satu mitos waktu saya masih bersekolah. Pada awal 1980-an, motosikal Yamaha RX-K diperkenalkan di pasaran tempatan. Tak lama selepas itu, ia ditarik semula kerana dikatakan enjinnya terlalu berkuasa. Waktu di mana internet dan media sosial adalah sesuatu yang asing, mitos begini kekal bermain dalam fikiran mat-mat motor menjadikan sisa-sisa RX-K di pasaran diburu oleh peminatnya.
Hakikatnya bukanlah begitu. RX-K digantikan dengan RX-S berdasarkan pasaran yang berbeza. Percubaan pihak Yamaha memasarkan motosikal era pertengahan dengan kapasiti enjin 135cc nyata membuahkan hasil namun pelan pemasaran untuk padanan badan yang lebih moden adalah resepi terhebat sepanjang zaman bila RX-S digantikan dengan RX-Z.
Setiap objek bersejarah seperti ini tentunya mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Apatah lagi bagi seorang yang meniti hari tuanya membelai objek beroda dua dengan penuh minat. RX-S milik Wak Atok yang berusia 76 tahun ini jelas telah melalui transformasi panjang untuk menjadi selengkap ini. Anda perlu terbang ke India untuk melihat versi asli RX-K pada hari ini tapi untuk model yang jarang di Malaysia, jentera Wak ini boleh dijadikan contoh.
Sejarah mungkin telah berlalu tapi cebisan sejarah tidak akan hilang dari ingatan manusia. Dunia automotif menyaksikan banyak sumbangan berharga yang dilakukan individu yang menyumbang kepada pengekalan nilai sejarah itu sendiri. Saya sendiri tidak sangka bahawa RX-S/RX-K akan menjadi sebahagian dari senarai itu. Realitinya, setiap model-model lama itu sendiri memiliki sentuhan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.Tak percaya? Lihat sahaja harga Yamaha RX-Z. Sebuah motosikal massa yang laris hampir setiap dekad dikeluarkan. Kini harganya melambung tinggi dan ada yang menyimpan model baru yang masih belum didaftarkan. Tidak mustahil harganya nanti sama dengan sebuah Kawasaki ER6 baru!