Versi Lebih Santai Daripada Classic 350, Dengan Rekaan Yang Menyerlah Dan Gaya Tunggangan Berjiwa Bebas.

Royal Enfield tidak pernah ketinggalan dalam memperkenalkan varian klasik yang segar dan dekat dengan jiwa penunggang. Terkenal dengan gaya retro dan bunyi ekzos yang menggetarkan emosi, jenama ini terus bereksperimen dengan pendekatan baharu tanpa meninggalkan identiti asalnya. Salah satunya Goan Classic 350 yang membawa nafas baharu kepada barisan motosikal klasik mereka.

Diperkenalkan sekitar penghujung tahun lalu di India, Goan Classic 350 merupakan satu interpretasi baharu kepada model popular Classic 350. Walaupun masih menggunakan enjin J-series 349cc yang sama, varian ini tampil dengan pendekatan visual dan gaya tunggangan yang berbeza.

Rekaannya memetik inspirasi daripada gaya hidup bebas masyarakat Goa pada era 70-an dan 80-an, menjadikan Goan Classic 350 lebih santai dan menonjolkan gaya hidup bebas, satu alternatif yang lebih santai bagi mereka yang mahukan kelainan daripada gaya klasik yang lebih formal.

Untuk pasaran Malaysia, model Classic 350 sudah pun ditawarkan secara rasmi sejak Mac lalu dan mula menarik perhatian penunggang tempatan. Maka tidak hairanlah jika Goan Classic 350 ini turut mendapat sambutan yang sama, khususnya dalam kalangan mereka yang mahukan gaya tunggangan berbeza tetapi masih mengekalkan jiwa klasik Royal Enfield.

Goan Classic 350 direka untuk memberikan keselesaan maksimum dalam pelbagai keadaan tunggangan. Ia menggunakan transmisi 5-kelajuan yang diselaraskan dengan baik untuk perjalanan bandar dan luar bandar, manakala berat keseluruhan sekitar 197 kg memberi rasa stabil tanpa berlebihan.

Ketinggian tempat duduk hanya 750 mm pula memudahkan penunggang pelbagai saiz, termasuk mereka yang lebih rendah. Tangki minyak berkapasiti 13 liter memberi jarak tunggangan yang baik, sesuai untuk perjalanan lebih jauh tanpa perlu risau mencari stesen minyak terlalu kerap.

Dari segi keselesaan tunggangan, Goan Classic 350 menawarkan posisi yang lebih santai berbanding varian Royal Enfield yang lain. Tempat duduknya yang rendah menjadikan ia lebih mesra untuk pelbagai ketinggian penunggang, manakala palang pemegang gaya “mid ape” bukan sahaja menambah gaya, tetapi juga membantu mengurangkan tekanan pada bahu dan pergelangan tangan, sesuai untuk tunggangan jarak jauh mahupun harian.

Salah satu ciri menarik yang turut ditawarkan ialah konfigurasi tempat duduk yang fleksibel. Tempat duduk belakang boleh ditanggalkan dengan mudah, membolehkan penunggang menyesuaikan motosikal ini sama ada untuk tunggangan solo bergaya bobber atau tunggangan berdua. Gabungan gaya dan praktikaliti ini menjadikan Goan Classic 350 lebih serba boleh berbanding rekaan klasik biasa.

Dari segi rekaan luaran, Goan Classic 350 tampil dengan pendekatan yang lebih berani. Fender dipendekkan, memberikan siluet bobber yang ringkas dan kemas. Tayar putih bergaya retro dan rim jejari jenis aluminium tubeless pula menyerlahkan lagi identiti klasik dengan sentuhan moden.

Lampu LED dan kemasan krom minimalis menjadikan penampilannya segar tanpa menyimpang terlalu jauh daripada gaya asal Royal Enfield. Empat pilihan warna yang ditawarkan iaitu Purple Haze, Shack Black, Trip Teal dan Rave Red. Bukan sahaja menyerlah di jalan raya, malah mencerminkan semangat bebas era 70-an dan 80-an yang menjadi inspirasi rekaan ini.

Walaupun mengekalkan gaya panel retro, Goan Classic 350 menyertakan paparan digital kecil yang memaparkan posisi gear, waktu, trip meter, mod ECO dan tahap minyak. Kehadiran ciri ini menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan harian tanpa mengorbankan penampilan klasik.

Model ini turut dilengkapi dengan Tripper Navigation sebagai ciri standard, membolehkan panduan arah dipaparkan secara langsung melalui sambungan telefon pintar. Ia satu tambahan berguna untuk penunggang moden yang mahukan teknologi tanpa menjejaskan nilai estetika tradisionalnya.

Dengan gabungan gaya berani, ergonomik yang selesa dan ciri praktikal, Goan Classic 350 sememangnya membawa nafas baharu kepada barisan Royal Enfield. Walaupun belum diumumkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, tidak mustahil model ini bakal menarik perhatian penunggang tempatan yang mencari sesuatu yang klasik, tetapi lebih segar dan santai.