Diadakan pada 31 Ogos lalu sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia serta melibatkan sebanyak 10 buah motosikal, program 10 tahun Anniversary Kelab Honda Klasik Kuala Terengganu ini diketuai presiden kelab, Muhammad Syafiq Suresh. Ride 1000 KM dari Kuala Terengganu menuju ke Hatyai disertai ahli-ahli kelab terdiri daripada pelbagai bangsa.
Pada hari pertama, perjalanan dimulakan selepas solat subuh seawal jam 6.00 pagi menuju ke Sungai Golok untuk urusan passport serta membawa masuk kenderaan ke negara Thailand. Urusan ini mengambil masa kira-kira 2 jam. Selepas selesai segala urusan, para peserta disambut polis pelancong Thailand dan juga Kelab Motosikal Klasik Sungai Golok Thailand.
Konvoi berhenti makan dan kesempatan ini digunakan untuk menukar wang sebelum meneruskan perjalanan. Selepas selesai solat dan makan tengah hari iaitu lebih kurang pukul 3.00 petang, para peserta diiringi Abang Mat Retro dari Kelab Klasik Sungai Golok sehingga ke Persimpangan Lamphu Narathiwat. Perjalanan ke Hatyai diteruskan melalui Pattani.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Kelab Klasik Thailand yang sentiasa menunggu para peserta hampir di setiap stesen minyak yang menjadi persinggahan serta bertanya khabar dan juga menampal pelekat di motosikal sebagai tanda persahabatan dua negara, Malaysia dan Thailand. Perjalanan diteruskan sehingga ke Hatyai dan tiba sekitar pukul 8.30 malam (waktu Malaysia) tanpa sebarang kerosakan walaupun kecil. Seterusnya, para peserta berehat di Hotel Centre Mansion Hatyai pada malam pertama.
Keesokan harinya iaitu pada hari kedua, para peserta telah bergerak ke Pantai Songkla untuk melihat ikan duyung di Samila Beach. Sebelah petangnya pula, para peserta bergerak ke Pasar Besar Hatyai (Central Market Hatyai). Di sini, para peserta mengambil peluang membeli cenderahati untuk dibawa pulang dan diserahkan kepada keluarga serta sahabat handai. Di sebelah malamnya pula, para peserta meronda-ronda di pasar malam kawasan Lee Garden.
Program diteruskan lagi pada hari ketiga dan kali ini para peserta bergerak dari Hatyai seawal pukul 9.00 pagi (waktu Malaysia) menuju ke Sungai Golok menerusi Pattani dan Narathiwat. Bagi merehatkan diri dan makan tengah hari, para peserta berhenti seketika di stesen minyak PTT Pattani. Perjalanan disambung semula sekitar jam 4.30 petang (waktu Malaysia) dan mendaftar masuk ke Vanice Palace Hotel Sungai Golok. Selain mengambil peluang ini untuk berehat, ruang masa ini juga digunakan untuk memeriksa keadaan motor oleh mekanik kelab.
Pada hari keempat, sumbangan telah diserahkan kepada dua pusat Tahfiz oleh presiden kelab. Manakala dua pusat tahfiz yang terpilih pula adalah Madrasah Tahfizul Quran Darussalam Sungai Golok dan juga Tahfiz Kedua Darul Quran Wa Ulumuddin Al Hasaniah. Walaupun sumbangan kecil, ia tetap besar dan bermakna buat mereka. Seterusnya, para peserta pulang ke hotel untuk makan dan bersolat sebelum bergerak ke sempadan untuk kembali ke Malaysia.
Para peserta telah dihantar sehingga ke sempadan oleh YB Sungai Golok, Amin Hj Daud yang sanggup meluangkan masa walaupun sangat sibuk dengan tugas harian. Selepas selesai urusan passport dan kastam, para peserta bergerak menuju ke Rantau Panjang sekitar pukul 4.00 petang (waktu Malaysia).
Perjalanan diteruskan sehingga ke Kuala Terengganu dan selamat tiba pada pukul 9.00 malam, diiringi Marshall serta AJK Kelab Honda Klasik Kuala Terengganu dari Jerteh ke Kuala Terengganu. Program ini berjaya disempurnakan dengan kehadiran seramai 10 orang ahli kelab, sejauh 1000km sempena sambutan ulang tahun ke 10 penubuhan kelab ini.
Di kesempatan ini, presiden kelab mengambil peluang untuk mengucap ribuan terima kasih kepada Y.A.M Tengku Sri Temenggong Raja Terengganu Dato Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Penaung Kelab Pemilik Honda Klasik Kuala Terengganu), Dato Seri Ahmad Razif Bin Abdul Rahman, Amin Hj. Mat Daud (Sungai Golok Thailand), Eddie (Sungai Golok Thailand), Abang Mat Retro (Sungai Golok Thailand), PDRM Terengganu, JPJ Terengganu, JPJ Kelantan, Kastam Diraja Malaysia serta semua yang terlibat secara langsung atau tak langsung.
Satu lagi ride dalam perancangan bakal dianjurkan tidak lama lagi dari Kuala Terengganu ke Bangkok sepanjang 2500km di masa akan datang.
Perkongsian :
Muhammad Syafiq Suresh
Presiden Kelab Honda Klasik Kuala Terengganu
Berminat untuk sertai kelab? Hubungi 012 – 957 5667