TXR Senawang Crew ; Ride Santai Ke Tanjung Piai Johor Hujung Benua Selatan Asia dan Menghulurkan Sumbangan Kepada Keluarga Asnaf

Sekali lagi TXR Senawang Crew telah menjayakan Ride Santai Tanjung Piai Johor Hujung Benua Selatan Asia dan Menghulurkan Sumbangan Kepada Keluarga Asnaf yang mendapat sambutan menggalakkan dari grup rider dan sahabat-sahabat lain yang turut serta dalam program ini. Hampir lebih kurang seramai 60 orang rider telah mengikuti program ini yang terdiri dari pelbagai jenama tanpa mengira sama ada motosikal berkuasa besar mahupun motosikal kecil dan diiringi dua buah kereta. Persahabatan yang diutamakan tidak mengira kuasa enjin kenderaan.

Hari Pertama (9 Februari – Sabtu)
Pada jam lebih kurang pukul 11.00 malam (Jumaat), semua peserta yang terlibat berkumpul di Balai Raya Kampung Sentosa Jaya dan menunggu ketibaan YBhg Hj Mohamad Taufek bin Abd Ghani, Dun Paroi N25 dan Ketua NPKK Kampung Sentosa Jaya, Hj Rahim B. Hamid untuk pelepasan. YBhg Dun Paroi N25 dan Ketua NPKK Kampung Sentosa Jaya tiba sekitar 11.30 malam disambut oleh Abang Zali Jasmin, wakil TXR Senawang Crew dan para peserta yang mengikuti program ride ini.

Sebelum pelepasan, YBhg telah memberi ucapan sepatah dua kata sebagai pemangkin kepada para peserta yang menjayakan program ride santai tersebut. Abg Zali Jasmin yang mewakili TXR Senawang Crew telah menyampaikan cenderahati kepada YBhg Dun Paroi N25 dan Ketua NPKK Kampung Sentosa Jaya sebagai kenangan. Sebelum bergerak, para peserta diberikan taklimat dan jadual program sepanjang perjalanan pergi dan balik, taklimat pergerakan telah diberikan oleh Abg Along Fizan. Selesai taklimat, aturcara diteruskan dengan bacaan doa selamat yang diketuai Abg Zali RJ, agar perjalanan selamat tiba dan pulang ke destinasi yang dituju.

Seterusnya, YBhg Hj Mohamad Taufek Bin Abd Ghani DUN Paroi N25 dan Ketua NPKK Kampung Sentosa Jaya, Hj Rahim Bin Hamid merasmikan dan melepaskan para peserta yang terlibat. Kesemua rider memulakan perjalanan dari Balai Raya Kampung Sentosa Jaya yang diketuai Abg Aeidil dan Abg Zali Jasmin pada jam lebih kurang 1.30 pagi. Para peserta berhenti seketika di RNR Ayer Keroh untuk mengambil rider dan mengisi minyak. Setelah selesai mengisi minyak, perjalanan diteruskan menuju ke arah RNR Pagoh untuk mengambil lagi para rider dari grup lain yang turut ikut serta dalam program ini. Para peserta mengambil peluang beramah mesra dan berehat seketika sambil menikmati minuman air panas bagi menyegarkan mata. Perjalanan diteruskan dan memasuki tol Simpang Renggam sebelum berhenti seketika untuk menunaikan solat subuh. Selesai solat subuh, perjalanan diteruskan dan berhenti untuk bersarapan pagi mengisi perut yang kosong.

Alhamdulillah, para peserta selamat tiba di Tanjung Piai lebih kurang jam 10.00 pagi dan terus menuju ke tempat penginapan yang disambut oleh ketua kampung Perpat dan Kampung Serkat iaitu En. Md. Hafidzuddin bin Mohd Salleh dan En. Ab Halim bin Md Salleh. Setelah itu, aktiviti diteruskan dengan menziarah beberapa rumah keluarga asnaf bagi penyerahan sumbangan kecil kepada keluarga asnaf yang dibawa oleh ketua kampung. Alhamdulillah, program ini berlangsung dengan jayanya atas bantuan dari ketua kampung. Setelah selesai, para peserta pulang semula ke tempat penginapan untuk merehatkan badan dan membuat aktiviti masing-masing. Pada sebelah malam pula, para peserta mengadakan jamuan barbeku ramah mesra sambil mencabut undi cabutan bertuah sebagai kenangan.

Hari Kedua (10 Februari – Ahad)
Lebih kurang jam 9.00 pagi, para peserta membuat persiapan untuk keluar dari tempat penginapan, kemudian berkumpul di Pekan Tanjung Piai untuk bersarapan pagi. Seterusnya, para peserta mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan Tanjung Piai sambil merakamkan gambar kenang-kenangan di Batu Penanda Hujung Benua Asia. Setelah selesai, para peserta bergerak pulang dan menyusuri jalan bandar sambil menikmati keindahan kawasan daerah-daerah di Johor. Sampai sahaja di daerah Muar, para peserta singgah di sebuah kedai Mee Bandung Muar untuk menjamu selera sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tempat masing-masing. Alhamdulillah, kesemua peserta selamat tiba ke destinasi masing-masing dengan selamatnya.

Admin-admin TXR Senawang Crew mengucapkan ribuan terima kasih kepada rider dua roda yang sudi menjayakan ride ke Tanjung Piai Johor. InsyaAllah, jika dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki, para admin TXR Senawang Crew akan membuat perancangan ride ke tempat-tempat yang lebih menarik. Sekali lagi, admin-admin mengucapkan terima kasih dan kerjasama yang diberikan oleh rider-rider. Semoga bertemu kembali.

Perkongsian : Qaseh